Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato' Rohani
KOTA DARULNAIM, 1 Disember — Sebanyak 69 pesakit cilik di Wad Kanak-Kanak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerima sumbangan kasut baharu bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia menerusi Program Agihan Kasut Kanak-Kanak anjuran Yayasan Muhibbah.
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKeKWa), Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA) serta Hospital Pakar USM sebagai rakan penganjur.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim bersama Pengarah Hospital Pakar USM Profesor Dato’ Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani serta Pengasas merangkap Pengarah Yayasan Muhibbah Dr. Lo Nyok Mooi.
Sehubungan itu, Dato' Rohani Ibrahim memaklumkan bahawa program tersebut bertujuan membawa keceriaan, senyuman dan semangat baharu kepada anak-anak yang sedang dirawat.
"Ia bersesuaian dengan falsafah Hari Kanak-Kanak Sedunia yang memperjuangkan hak, keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di seluruh dunia.
"Selain pesakit, beberapa kakitangan hospital turut menerima sumbangan kasut sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam menjaga kesejahteraan kanak-kanak di hospital tersebut," katanya di media sosial, hari ini.
Hospital Pakar USM turut memberikan sokongan penuh dengan menguruskan penyelarasan program, pergerakan sukarelawan serta penglibatan kakitangan hospital sepanjang sesi agihan berlangsung.
Program itu bukan sahaja menceriakan penerima, malah mengukuhkan hubungan kerjasama antara agensi kerajaan, badan sukarela dan institusi perubatan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti, khususnya kanak-kanak yang memerlukan.
Dalam perkembangan lain, Dato' Rohani bersama Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Zailah Yusof dan Dr Lo Nyok Mooi turun ke Rantau Panjang bagi memantau keadaan banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.
Agihan bantuan turut disampaikan kepada mangsa yang masih terjejas, terutamanya rumah-rumah yang masih ditenggelami air.
"Semoga Allah mempermudah segala urusan mereka yang terjejas banjir dan dilindungi dari bencana. Insya Allah, usaha kecil kita hari ini jadi asbab besar besok hari," ujar Dato' Rohani lagi.





0 Comments