Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU: Mangsa
banjir yang berpindah dan berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dipastikan
berada di lokasi terbabit sehingga banjir surut.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, berdasar maklumat ada mangsa banjir yang berdaftar, namun tidak tinggal di PPS sehingga menyebabkan berlaku pembaziran makanan yang disediakan petugas.
Katanya, sekiranya mangsa banjir sudah mendaftar sebagai mangsa banjir di PPS, amat tidak wajar mereka kembali semula ke rumah ketika banjir belum surut.
"Sebaliknya sekiranya kita merasakan masih selamat berada di rumah, penduduk tidak seharusnya mendaftar di PPS.
“Berilah peluang pada orang lain yang terjejas akibat banjir menginap di PPS," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial, dekat sini semalam.
Bagaimanapun cuaca di kebanyakan tempat di Kelantan mulai cerah sejak Sabtu lepas.
Menurutnya juga PPS di sekolah tersebut begitu selesa kerana ia luas dan mangsa banjir tidak ramai.
Malah kanak-kanak gembira kerana mendapat layanan yang baik daripada petugas serta penyediaan makanan mencukupi.
Menteri Besar turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah sentiasa berwaspada walaupun banjir gelombang pertama semakin surut.
"Penduduk di kawasan sering dinaiki air diingatkan bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan semula paras banjir.
“Persediaan lebih awal penting bagi mengelakkan keadaan lebih teruk seperti berlaku di selatan Thailand baru-baru ini. Ikuti arahan pihak berkuasa,” tambah beliau.


0 Comments