Aktiviti LGBT semakin parah di negara ini


Oleh Salmah Mat Husain

KOTA BHARU: Kerajaan perlu mengambil tindakan serius terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang semakin menjadi-jadi di negara ini sekarang. 

Naib Presiden PAS Dato’  Seri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata,  LGBT menjejaskan asas kehidupan masyarakat berlandaskan ajaran agama.

Katanya isu seks songsang bukan perkara baharu di negara ini, namun malangnya sehingga kini tiada tindakan tegas dilaksanakan kerajaan untuk membanteras aktiviti berkenaan.

“Malaysia menghadapi masalah kerana asas kehidupan kita tidak berlandaskan ajaran agama. Sebab itu kita kena berusaha untuk melaksanakan tuntutan agama dalam kehidupan bermasyarakat.

“Isu seks songsang ini bukan benda baru, tetapi tiada tindakan serius daripada kerajaan,” katanya di sini semalam. 

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu aktiviti songsang membabitkan lebih 200 individu di sebuah spa di Kuala Lumpur yang turut melibatkan pegawai kanan kerajaan. 

Malangnya berdasar laporan media individu terbabit tidak ditahan reman atas alasan terlewat. Malah ada pihak seperti membela kumpulan terbabit. 

Mohd Amar berkata, sebarang operasi polis terhadap aktiviti berkenaan  berlandaskan maklumat yang sah, bukan tindakan sembarangan.

“Kalau kita kata tiada kes jenayah berlaku, takkanlah polis bodoh nak serbu begitu sahaja. Kalau setakat spa biasa, polis pun tidak serbu. Ketua polis kata mereka monitor dua minggu, maknanya mesti ada maklumat,” ujarnya.

Beliau menambah masalah utama ialah ketiadaan undang-undang yang menyeluruh untuk membolehkan tindakan diambil terhadap kumpulan tersebut.

"Keadaan itu memberi tiket kepada pihak tertentu untuk terus bertindak kerana mereka tahu tidak boleh didakwa di mahkamah.

"Kerajaan perlu mengambil inisiatif membawa isu ini ke kabinet, termasuk memperkasakan mahkamah syariah dan meminda undang-undang sedia ada.

“Kalau perlu ubah undang-undang, ubahlah. Kalau perlu perkasakan mahkamah syariah, perkasalah. Menteri agama sepatutnya rasa malu dengan kenyataan ketua polis jika perkara ini diabaikan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments