Khidmat Malaysia Tumpat perkemas kesiapsiagaan banjir gelombang kedua

Mantan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad Yaakob

Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan

TUMPAT, 5 Disember – Khidmat Malaysia Tumpat memperkemas kesiapsiagaan menghadapi banjir gelombang kedua dengan melancarkan sukarelawan Khidmat Malaysia Tumpat, bot bantuan, serta kutipan dana dalam Majlis Pelancaran Sukarelawan dan Kutipan Sumbangan Banjir yang berlangsung di Padang Sriti Ibadurrahman, Tumpat, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh mantan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Bentara Kanan Dato' Ahmad Yaakob yang menekankan keperluan bermuhasabah terhadap musibah yang semakin kerap berlaku.

“Akhir-akhir ini banyak musibah yang berlaku di negara dan luar negara seperti banjir, taufan, gempa bumi, tsunami ke atas manusia akhir zaman.

"Kita kena sentiasa bermuhasabah supaya berlaku sesuatu musibah itu bukan kerana perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab" katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Pekan turut memaklumkan bahawa Khidmat Malaysia Tumpat sentiasa bersedia dari segi pengurusan kecemasan dan bencana bagi memastikan tindak balas lebih cepat dan tersusun.

Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Kelantan merangkap ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar memuji inisiatif Tumpat sebagai kawasan pertama yang melancarkan kutipan sumbangan banjir di peringkat daerah.

ADN Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar

“Tahniah kepada Khidmat Malaysia Tumpat atas penganjuran majlis ini. Tumpat Khidmat Malaysia pertama lancarkan kutipan banjir,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Khidmat Malaysia di peringkat negeri dan pusat merupakan penyelaras bencana yang diiktiraf oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

“Penghargaan kepada semua sukarelawan Khidmat Malaysia yang membantu misi-misi banjir di Tumpat" ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Khidmat Malaysia Tumpat yang merupakan ADN Pengkalan Kubor YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata majlis tersebut merupakan usaha mengumpulkan kekuatan menghadapi banjir yang saban tahun melanda daerah itu.

Penasihat Khidmat Malaysia Tumpat, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat

“Syukur kita berkumpul untuk mengumpul kekuatan menghadapi banjir. Jentera di Tumpat sentiasa bersiap sedia kerana Tumpat memang daerah yang selalu banjir,” jelasnya.

Dato' Wan Roslan turut berkongsi pencapaian Khidmat Malaysia Tumpat tahun lalu.

“Kejayaan Khidmat Malaysia Tumpat banjir tahun lepas telah berjaya membaik pulih 8 buah rumah dengan kos RM70,000. Di mana banjir tahun lepas 19 buah rumah musnah dan sepuluh buah rumah hanyut di Tumpat,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran sukarelawan Khidmat Malaysia Tumpat, gimik penyerahan bot serta penyerahan sumbangan dan kutipan dana bagi persiapan menghadapi musim banjir tahun ini.

Pelancaran Sukarelawan Khidmat Malaysia Tumpat

Gimik Penyerahan Bot


Post a Comment

0 Comments