Bandar besar di bawah teraju menteri DAP

 
Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Kuala Lumpur merupakan kerajaan tempatan terbesar di negara ini. Dan Putrajaya sebagai kerajaan tempatan paling strategik. Kedua-duanya berada di bawah Wilayah Persekutuan.

Pentadbiran ibu kota tersebut di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini diterajui menteri dari DAP.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ramai bimbang penguasaan penuh pusat pentadbiran negara di bawah satu parti politik sekarang.

Katanya kesemua entiti tersebut berada di bawah bidang kuasa KPKT dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Baru-baru ini sejarah tercipta apabila kedua-dua kementerian terbabit diletakkan di bawah kuasa menteri dari satu parti. Lengkaplah penguasaan penuh mereka terhadap semua kerajaan tempatan, ibu negara dan pusat pentadbiran negara,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Pada rombakan kabinet Selasa lepas ahli parlimen DAP dari Segambut Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Manakala Nga Kor Ming juga dari DAP kekal sebagai menteri KPKT.

Secara keseluruhan, rombakan berkenaan melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri.

Berikutan pelantikan itu pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan memandangkan DAP sudah lama memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun ketika menjawab isu tersebut berdasar video yang diviralkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan orang Melayu masih menguasai Kementerian Wilayah Persekutuan kerana Datuk Bandar masih orang Melayu.

Manakala Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor memberi jaminan Hannah tidak akan menyebabkan jurang perkauman semakin melebar di Wilayah Persekutuan.

Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional menyifatkan situasi yng berlaku itu sebagai hasil kesatuan dan pengaruh politik yang kuat dalam kerajaan Madani.

“Kita hanya layak makan ‘gula-gula’ kerana memilih untuk berpecah dan sekadar menjadi ‘pelengkap’. Kita king maker, mereka king sebenar. Siapa lebih bijak? Menang sorak, kampung tergadai,” katanya.

 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments