Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 18 Disember - Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) telah mengagihkan dividen berjumlah RM201.53 juta kepada peserta Ladang Rakyat sejak penubuhannya pada tahun 2006.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata pencapaian itu membuktikan kejayaan PPLR menguruskan tanah yang diamanahkan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membantu rakyat, khususnya golongan kurang bernasib baik.
Menurutnya, PPLR bekerjasama dengan beberapa syarikat bagi mengusahakan tanah melalui pelaksanaan Ladang Rakyat walaupun hasil tanaman masih belum diperolehi.
“Walaupun hasil penanaman belum diperoleh, PPLR tetap berjaya mengagihkan dividen kepada peserta,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura dan Slip Pembahagian Dividen Peringkat ke-69 Tahun 2025 di Wisma PPLR, Tunjong, di sini hari ini.
![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
Beliau berkata, peserta Ladang Rakyat dipilih daripada seluruh negeri Kelantan dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
“Kita memilih rakyat yang kurang bernasib baik untuk menjadi peserta Ladang Rakyat dan mereka menerima dividen setiap bulan tanpa perlu bekerja di ladang. Namun, bagi peserta yang berminat bekerja di ladang, mereka akan diberikan gaji,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru peserta supaya menghadiri kelas pengajian sekurang-kurangnya sekali sebulan sebagai persediaan bekalan akhirat.
“Luangkan satu jam sebulan untuk mengikuti kelas pengajian. Jika tidak hadir dua kali berturut-turut, mereka boleh digantikan dengan peserta lain. Kita mahu peserta Ladang Rakyat bukan sahaja mementingkan dunia, tetapi juga akhirat,” katanya.
Mengulas pentadbiran negeri, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri mentadbir Kelantan berlandaskan prinsip yang ditetapkan oleh Allah SWT.
“Alhamdulillah, kerajaan negeri dapat mentadbir Kelantan dengan baik kerana ia merupakan satu amanah yang besar,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana syarikat yang gagal mematuhi perjanjian dengan PPLR.
“Mana-mana syarikat yang tidak membayar mengikut perjanjian akan diberi amaran dan kontrak kerjasama akan dibatalkan tanpa kompromi. Apabila bayaran dibuat kepada PPLR, dividen kepada peserta dapat dibayar tanpa tertunggak,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri YB Dato’ Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri YB Dato’ Rosnazli Amin, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negeri serta Ketua Pegawai Eksekutif PPLR Dr Mohd Arpi Arifin.




0 Comments