Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 18 Disember - Mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negeri (MTMN) Kelantan Tahun 2025 menjadi medan penting memperkukuh agenda pendigitalan negeri melalui taklimat advokasi teknologi, keselamatan siber dan pembangunan ekonomi digital.
Mesyuarat yang berlangsung di Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim, pagi ini dipengerusikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, yang mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut Dato’ Wan Roslan, antara agenda utama ialah taklimat advokasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Mesyuarat ini memfokuskan kempen Internet Selamat, penggunaan teknologi kecerdasan buatan menerusi Chatbot AIFA bagi menangani penularan berita palsu, serta pelaksanaan inisiatif MCMC Nexus sebagai mekanisme pengukuran kelajuan internet berasaskan data awam.
“Selain itu, pembentangan daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berhubung status pelaksanaan Program Ekonomi Digital di Negeri Kelantan, termasuk kemajuan semasa dan perancangan strategik bagi merancakkan ekosistem digital negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh agenda teknologi maklumat dan pendigitalan secara berperingkat dan menyeluruh, selari dengan keperluan semasa serta hala tuju pembangunan negeri, agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Kamaruzaman Mohama, bersama wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan.



0 Comments