Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 22 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan Portal Info Rakyat sebagai satu platform digital bersepadu yang bakal menjadi rujukan utama rakyat bagi mendapatkan maklumat perkhidmatan, skim bantuan, produk serta hebahan semasa kerajaan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Mohd Asri Daud berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan secara lebih tersusun, mudah diakses dan mesra rakyat.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Semakan Dan Tambah Baik Portal Info Rakyat Kelantan di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim,” katanya menerusi laman rasmi pada Khamis.
Menurutnya, portal berkenaan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat Negeri (BPTM).
“Portal ini dibangunkan sebagai terminal digital bersepadu yang akan menjadi rujukan dan akses kepada rakyat bagi sebarang tawaran perkhidmatan, skim bantuan, produk, selain makluman dan hebahan semasa,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penambahbaikan portal berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada 54 jabatan, agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang telah hadir dan memberikan pandangan serta percambahan idea bagi memantapkan lagi Portal Info Rakyat ini,” katanya.
Tambah YB Mohd Asri, penambahbaikan tersebut amat penting bagi memastikan portal berkenaan benar-benar memenuhi keperluan rakyat sebelum disebarkan secara rasmi pada awal tahun 2026.




0 Comments