Landskap politik Sabah berubah jangka panjang

 

Oleh Salmah Mat Husain

RANTAU PANJANG: Kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Aliakbar Gulasan di Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lepas dianggap sebagai isyarat PAS mulai diterima di Negeri Bawah Bayu.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, keputusan itu membuktikan PAS dan Perikatan Nasional (PN) kini diterima rakyat Sabah walaupun pelbagai cabaran dihadapi sepanjang kempen.

Menurutnya pengundi di Karambunai tetap menyokong calon PN meskipun dilapor wujud dakwaan pengundi diberi wang oleh pihak tertentu.

“Mereka tetap memilih calon PN yang diwakili PAS kerana lebih berintegriti dan sesuai dengan pengalamannya sebagai wakil rakyat dilantik sebelum ini.

"InsyaAllah, saya yakin landskap politik Sabah akan berubah dalam jangka panjang," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Padang Licin, dekat sini semalam.

Seramai 30 keluarga mangsa banjir menerima sumbangan berupa keperluan dapur yang disumbangkan Yayasan Muhibbah.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Rohani Ibrahim dan Penghulu Mukim Padang Licin, Wan Zain.

Pada PRN Sabah Sabtu lepas Dr Aliakbar memenangi kerusi Dun Karambunai dengan meraih 7,054 undi dalam pertandingan 11 penjuru termasuk penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Yakub Khan.

Pada PRN tersebut Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh 29 kerusi membentuk kerajaan negeri dengan sokongan Pakatan Harapan (1 kerusi), Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (3) dan bebas (5).

Jumlah keseluruhan sokongan yang diterima Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebanyak 38 kerusi, mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan turut merakam penghargaan kepada seluruh jentera parti yang bertungkus lumus membantu kempen di Sabah.

"InsyaAllah dengan adanya tapak kita di Sabah, ia akan memberi kesedaran pada rakyat Sabah pada masa panjang," ujarnya.

Beliau berkata, walaupun PN bukan parti bersifat kenegerian, namun perjuangannya untuk masa depan seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah.

Siti Zailah berharap rakyat Sabah dapat menilai kepimpinan negeri itu yang sebelum ini didakwa berdepan isu-isu rasuah dan integriti.

“Saya optimis pada masa depan rakyat Sabah akan memberi kepercayaan lebih besar kepada PN sehingga mampu menerajui negeri tersebut,” ujarnya.

 

 

Post a Comment

0 Comments