Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 1 Disember – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sekali lagi dinobatkan Johan Anugerah Zakat Kebangsaan 2025 kategori Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) melalui Projek Pemerkasaan Kaunter Baitulmal di Masjid.
Kejayaan itu melengkapkan rekod kemenangan dua tahun berturut-turut kerana sebelum ini institusi tersebut sudah pun muncul Johan kategori Agihan pada 2024.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta merangkap Ahli Majlis MAIK YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud merakamkan penghargaan dan tahniah atas kejayaan tersebut.
“Tahniah MAIK atas kejayaan mendapat Johan Kategori Inovasi Zakat Terbaik (Kutipan) melalui Projek Pemerkasaan Kaunter Baitulmal di Masjid sempena Anugerah Zakat Kebangsaan (AZK) 2025.” katanya di laman rasmi pada Sabtu.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith Putrajaya pada 26 November 2025.
Pengiktirafan berprestij itu diraih melalui Projek Pemerkasaan Kaunter Baitulmal di Masjid sebagai Pemangkin Inovasi Zakat.
Menurut MAIK, kaunter baitulmal berkenaan diwujudkan sebagai wasilah mesra pelanggan bagi memudahkan pembayar zakat menunaikan kewajipan agama dengan lebih selesa dan cepat.
Selain itu, kaunter itu turut berperanan sebagai pusat khidmat kepada asnaf untuk membuat permohonan bantuan zakat serta mendapatkan bantuan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan.
YB Mohd Asri turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MAIK atas komitmen dan usaha berterusan.
“Tahniah dan Jazakumullah Khairal Jaza’ saya rakamkan kepada seluruh Pengurusan MAIK atas komitmen dan usaha berterusan memperkukuh keseluruhan ekosistem zakat secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya di media rasmi, hari ini.

0 Comments