Masyarakat India hargai keharmonian kaum di Kuala Krai


Oleh: Syamimi Manah

KUALA KRAI, 30 Disember – Keharmonian hidup berbilang kaum di Kuala Krai terus dizahirkan oleh penerima sumbangan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (Masyarakat India DUN Mengkebang).

Mereka meluahkan penghargaan terhadap sikap masyarakat majmuk Kelantan yang saling menghormati serta bantuan kebajikan yang diterima daripada kerajaan negeri, tanpa mengira bangsa dan agama.

Seorang penerima, Rukumani A/P Balaraman, 74, yang berasal dari Kuala Krai berkata bantuan kebajikan termasuk ketika bencana banjir sentiasa diterima.

Rukumani A/P Balaraman, 74

“Bantuan banjir pon ada dapat. Setiap bulan penghulu Jayakumar bagi beras, gula, minyak. Terima kasih banyak-banyak.” katanya ketika ditemubual, semalam.

Bagi Kotamah A/P Varathan, 71, yang telah menetap di Kuala Krai sepanjang hidupnya, suasana harmoni masyarakat berbilang kaum menjadi kekuatan utama komuniti setempat.

“Saya asal Kuala Krai. 71 tahun tinggal di sini. Orang di sini semua baik-baik. India, Melayu baik.” ujarnya.

Kotamah A/P Varathan, 71

Sementara itu, Subashini A/P Murugan, 32, mengakui beliau amat selesa menetap di Kelantan dan merasai sendiri keharmonian hubungan antara kaum dalam kehidupan seharian.

“Saya ni memang orang Kelantan. Memang suka benar tinggal di Kelantan ni sebab suka berkawan dengan orang Melayu di sini. Tiada perbalahan, mudah berurusan semuanya.” ujarnya.

Tambahnya, suasana tersebut turut memberi kesan positif kepada anak-anak.

Subashini A/P Murugan, 32

“Anak saya pun sekolah di SK Pasir Kelang, seorang sahaja India di situ dan berkawan dengan ramai orang Melayu. Anak saya umur 3 tahun tu dah pandai cara bersalam, makan budu sebab berkawan dengan orang Melayu,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman saling menziarahi dalam majlis perkahwinan antara kaum di DUN Mengkebang.

“Bila saya kahwin, orang Melayu datang rumah saya, bila kawan-kawan Melayu kahwin saya pergi rumah dia.” ujarnya

Selain itu, beliau memaklumkan kebebasan beribadah untuk masyarakat India di situ dapat dilaksanakan dengan baik.

“Tempat sembahyang kami pun setakat ini, kami boleh sembahyang dengan baik. Tiada masalah apa-apa. Terima kasih kepada YB, penghulu sebab sentiasa bagi sumbangan kepada kami,” katanya.

Mohanadass A/L Thandaioo, 40

Seorang lagi penerima, Mohanadass A/L Thandaioo, 40, berkata bantuan kebajikan sentiasa disalurkan kepada penduduk tanpa mengira keadaan.

“40 tahun dah saya duduk di Kelantan. YB Zubir selalu masuk kampung saya bagi bantuan. Banjir sebelum ni pun bantuan sampai," katanya.

Bagi Ravisanderan A/L Kannan, 60, kehidupan masyarakat India di Kelantan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.

Ravisanderan A/L Kannan, 60

“Setakat ni tiada masalah apa-apa orang India di Kelantan ni. Dapat makan nasi berlauk, nasi kerabu bersama-sama masyarakat di sini dengan baik ” jelasnya.

Beliau turut menghargai keprihatinan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan.

“Bantuan raya, bantuan banjir sentiasa dapat dekat sini tanpa kira bangsa dan agama. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan.” ujarnya.

Devi, 53

Sementara itu, Devi, 53, yang berasal dari Ladang Pasir Gajah, Kuala Krai, turut menyuarakan pandangan sama berhubung keharmonian kaum di negeri ini.

“Asal Ladang Pasir Gajah, Kuala Krai. Bagi masyarakat India di Kelantan, dari segi pergaulan bersama masyarakat Melayu, Cina memang aman damai tiada apa-apa masalah.” katanya.

Post a Comment

0 Comments