![]() |
| Ketua Pegawai Eksekutif PPLR, Dr Mohd Arpi Arifin |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 18 Disember - Penubuhan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat (PPLR) bertujuan menjana pendapatan tambahan kepada rakyat yang menjadi peserta Ladang Rakyat, di samping membantu mengurangkan kemiskinan serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PPLR Dr Mohd Arpi Arifin berkata, penubuhan PPLR mempunyai matlamat yang jelas iaitu memastikan tanah yang diamanahkan kepada perbadanan itu diurus secara berkesan, produktif dan mampu menjana pulangan berterusan kepada peserta.
Katanya, PPLR akan terus memperkukuh usaha penambahbaikan pengurusan ladang termasuk meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan hasil yang optimum dan seterusnya memaksimumkan pulangan kepada peserta.
“Kami komited memastikan setiap sen yang diagihkan adalah adil, telus dan berlandaskan perjanjian yang telah dipersetujui. Semakan semula perjanjian juga dilaksanakan secara terperinci bagi menjaga kepentingan rakyat serta hak PPLR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di Majlis Penyerahan Cek Cura dan Slip Pembahagian Dividen peringkat ke-69 tahun 2025 di Wisma PPLR, Tunjong di sini, hari ini.
Dr Mohd Arpi turut mengakui pengurusan PPLR berdepan pelbagai cabaran semasa yang memerlukan keberanian melakukan pembaharuan serta komitmen tinggi terhadap amalan tadbir urus yang berkualiti.
Jelasnya, dengan sokongan berterusan semua pihak terutama ahli lembaga pengarah, PPLR telah mengambil langkah strategik dan berhemah melalui penstrukturan kewangan, pemerkasaan pembangunan ladang serta penambahbaikan sistem tadbir urus.
“Usaha ini penting bagi memastikan kelangsungan PPLR dan menjamin pulangan yang lebih mampan serta berterusan kepada peserta pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan menjadi instrumen penting dalam memacu pembangunan sektor perladangan negeri Kelantan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat bagi merealisasikan agenda Kelantan sebagai negeri berkebajikan.
Dr Mohd Arpi turut menzahirkan kesyukuran kerana PPLR menjadi antara agensi kerajaan negeri yang berperanan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat Kelantan, khususnya dalam kalangan peserta Ladang Rakyat.
Mengulas tentang penyampaian cek cura yang diadakan hari ini membuktikan komitmen lembaga pengarah dan pengurusan PPLR dalam mengagihkan hasil Ladang Rakyat secara telus dan berintegriti, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik serta amanah yang dipertanggungjawabkan kepada perbadanan itu.
“Ia selari dengan moto PPLR iaitu Mengurus Amanah Rakyat. Selain dividen yang diagihkan secara berkala, PPLR turut menyediakan manfaat kebajikan seperti khairat kematian melalui Tabung Khairat Kematian Peserta Ladang Rakyat berjumlah RM5,000 bagi setiap kematian peserta,” ujarnya.
Sementara itu, pengagihan dividen Ladang Rakyat peringkat ke-69 dijadualkan berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bermula 19 hingga 25 Disember 2025.



0 Comments