Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 30 Disember - Program Khitan Perdana Dewan Negeri (DUN) Ayer Lanas berlangsung meriah dalam suasana penuh kemesraan dan kebersamaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan kepimpinan setempat terhadap kebajikan masyarakat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Air Lanas merangkap Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penganjuran program itu bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan menjadi platform menyantuni anak-anak mukim serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti setempat.
“Program seperti ini memberi makna besar kepada masyarakat kerana ia bukan sekadar urusan ibadah, tetapi juga medan kebersamaan antara pemimpin dan rakyat,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada anak-anak yang menyertai khitan, sambil mendoakan agar mereka membesar sebagai insan soleh, berakhlak mulia serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Dalam pada itu, Datuk Kamarudin turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, termasuk petugas perubatan, urus setia serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran penganjuran.
“Semoga usaha kecil ini memberi manfaat besar kepada masyarakat dan menjadi satu kenangan manis buat anak-anak yang diraikan,” katanya.
Program Khitan Perdana yang diadakan di Dewan Purnama Desa Rabbana, Ayer Lanas itu melibatkan 113 kanak-kanak.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa serta penduduk setempat, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti DUN Ayer Lanas.


0 Comments