Kebajikan masyarakat India Kuala Krai terus diberi perhatian


Oleh: Syamimi Manah

KUALA KRAI, 30 Disember – Isu kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat India di Kuala Krai terus diberi perhatian oleh Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman.

Beliau konsisten membangkitkannya di peringkat parlimen sebagai sebahagian daripada komitmen menyantuni semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

Komitmen tersebut diterjemahkan menerusi penganjuran Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (Masyarakat India DUN Mengkebang) melibatkan 60 penerima sumbangan yang berlangsung di Taman Bukit Sireh, semalam.

Dalam ucapannya, YB Abdul Latiff merakamkan penghargaan kerana berpeluang bersama masyarakat India di Parlimen Kuala Krai serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan mereka.


Beliau memaklumkan bahawa isu kebajikan masyarakat India merupakan antara perkara yang sering dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Rakyat memandangkan Kuala Krai mempunyai komuniti masyarakat India yang ramai.

“Di parlimen, antara yang saya bangkitkan adalah kepentingan menjaga kebajikan masyarakat India. Kerana kawasan saya, Kuala Krai ramai orang India" katanya.

Menurutnya, antara isu penting yang diketengahkan ialah kedudukan SJK (T) Ladang Pasir Gajah, satu-satunya sekolah Tamil di Kelantan yang berdepan cabaran kekurangan murid walaupun mempunyai kemudahan bangunan yang lengkap.

“Saya bangkitkan isu satu-satunya sekolah india di Kelantan iaitu SJK (T) Ladang Pasir Gajah di Kuala Krai yang masalahnya ialah tiada murid.


“Bangunan tiga tingkat tetapi pelajar ada 30 lebih sahaja kerana ramai penduduk di Pasir Gajah sudah berhijrah ke tempat lain.” jelasnya

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan usaha kerajaan bagi memastikan sekolah berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesinambungan pendidikan masyarakat India di negeri ini.

“Saya bangkitkan usaha kerajaan untuk hidupkan sekolah ini dengan mencadangkan agar diwujudkan asrama supaya pelajar yang jauh boleh belajar di sekolah itu.

“Saya sebutkan supaya sekolah yang dah ada ini dihidupkan balik dan digunakan sebaik mungkin.” ujarnya.


Dalam aspek pembangunan sosioekonomi pula, Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut menyentuh mengenai peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan, khususnya berkaitan agihan dan manfaat kepada masyarakat India di Kelantan.

“Semasa pembentangan belanjawan, saya bangkitkan peruntukan MITRA yang turun di Kelantan. Kerajaan persekutuan memberi peruntukan yang besar untuk MITRA. Tapi apa yang rakyat India di Kelantan dapat?

“Masyarakat India paling ramai di Kelantan adalah di Kuala Krai. Saya akan sebut lagi apa usaha untuk membantu ekonomi dan pendidikan masyarakat India di Kuala Krai.”

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang YB Zubir Abu Bakar memaklumkan bahawa majlis berkenaan diadakan hasil inisiatif penghulu setempat sebagai medium memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat India di kawasan tersebut.


Beliau turut menekankan bahawa keharmonian kaum yang wujud di DUN Mengkebang merupakan hasil hubungan erat yang terjalin sejak sekian lama.

“Keharmonian hari ini adalah hasil yang kita jaga dari dulu berzaman-zaman. Orang India di sini tidak pelat bercakap Kelantan.” katanya.

Menurutnya, hubungan akrab itu jelas dizahirkan melalui sikap saling menghormati dalam sambutan perayaan antara kaum.

“Orang India ni, kalau raya Deepavali, dia jemput orang Melayu juga, tempah makanan istimewa untuk meraikan orang Melayu." katanya.

Dalam pada itu, YB Zubir turut menggesa masyarakat setempat supaya mengambil peluang mendaftar Skim Kifaalah yang memperuntukkan RM1000 untuk waris si mati sebagai langkah kebajikan untuk keluarga.



Post a Comment

0 Comments