Kelantan dijangka terima RM460.7 juta daripada KKDW


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 18 Disember – Kerajan Negeri Kelantan dijangka menerima peruntukan sebanyak RM460.7 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2026, menjadikan negeri ini sebagai penerima keempat terbesar peruntukan pembangunan luar bandar di bawah kementerian tersebut.

Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Saizol Ismail berkata, jangkaan peruntukan tersebut meningkat RM163.8 juta atau 55 peratus berbanding tahun 2025.

"Bagi tahun 2026, KKDW memperoleh peruntukan sejumlah RM 12.40 billion, manakala bagi Kelantan sendiri dijangka menerima peruntukan sejumlah RM 460.7 juta, pertambahan sekitar RM 163.8 juta berbanding tahun 2025." katanya di laman rasmi pada Selasa.

Tambahnya, peruntukan itu menjadikan Kelantan negeri keempat terbesar menerima peruntukan melibatkan 29 projek baru dan 101 projek sambungan.

Beliau berkata demikian selepas mewakili exco YB Dato' Dr Izani Husin menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) kali ke-2 bagi tahun 2025 yang berlangsung di Ipoh Perak pada Selasa.


Menurut YB Saizol, MEXCLUB merupakan platform penting bagi menyelaraskan pelaksanaan pembangunan luar bandar antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, bukan sahaja dari aspek infrastruktur tetapi turut menekankan pembangunan modal insan.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut menyatakan hasrat kerajaan negeri agar fokus pembangunan diberikan kepada bekalan air luar bandar serta jalan perhubungan desa yang menjadi pemangkin hubungan antara daerah, selain menekankan pemantauan rapi terhadap projek-projek kementerian yang tergendala di Kelantan.

"Keutamaan negeri yang lain akan dimasukkan dalam Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) setelah mendapat persetujuan di peringkat negeri" jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pihak pegawai kementerian atas segala pertimbangan dan kerjasama bagi memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di Kelantan.



Post a Comment

0 Comments