E-Mutiara terima Anugerah SME Bank Entrepreneur of the Year 2025


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 18 Disember – Syarikat pengangkutan awam milik anak Kelantan, Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), dianugerahkan SME Bank Entrepreneur of the Year 2025 pada majlis berprestij yang berlangsung di sebuah hotel Kuala Lumpur.

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Ismail menyifatkan anugerah tertinggi itu sebagai satu amanah besar yang mengingatkan syarikat terhadap tanggungjawab berterusan kepada industri, pekerja, pelanggan dan masyarakat.

“Bagi E-Mutiara, pengiktirafan kejayaan korporat ini menandakan perjalanan panjang syarikat dalam membangunkan perkhidmatan pengangkutan awam yang berdaya tahan, beretika dan berpaksikan rakyat. Ia juga merupakan penghargaan kepada warga kerja di semua peringkat, rakan strategik, pihak berkuasa dan pelanggan yang memberi sokongan berterusan.

“Anugerah ini bukan noktah kejayaan, tetapi penanda aras baharu untuk kami melakukan yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan rasmi, semalam.


Tambahnya, E-Mutiara berhasrat untuk terus memperkukuh tadbir urus korporat dan pengurusan berintegriti, melabur dalam penambahbaikan perkhidmatan, keselamatan serta kebajikan pekerja pada masa depan.
Di samping itu, syarikatnya terus menyokong agenda nasional ke arah sistem pengangkutan awam yang mampan dan inklusif.

“Matlamat kami adalah untuk menjadi contoh syarikat tempatan yang berkembang secara berprinsip tanpa mengorbankan nilai. Kejayaan sebenar bagi E-Mutiara diukur melalui keberkesanan perkhidmatan, kepercayaan masyarakat dan sumbangan berterusan kepada pembangunan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Korporat E-Mutiara Hisham Lokman memaklumkan bahawa Pengarah Kewangan E-Mutiara Nurul Aufa Che Ibrahim mewakili syarikat menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan pada Rabu.

Menurutnya lagi, majlis berprestij itu menghimpunkan usahawan terpilih dari seluruh negara yang mencatat pencapaian luar biasa serta memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan keusahawanan nasional.

Majlis tersebut turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan dan sektor pembangunan keusahawanan, termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.

Post a Comment

0 Comments