Ahli majlis diseru gerakkan agenda Pelan Tindakan Bandar Pintar


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 12 Januari – Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diseru untuk menggerakkan agenda Pelan Tindakan Bandar Pintar di kawasan masing-masing bagi memastikan inisiatif bandar pintar Kelantan benar-benar direalisasikan sepanjang tahun 2026.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, tahun 2026 telah diisytiharkan sebagai tahun pelaksanaan sebenar agenda Bandar Pintar Negeri Kelantan, justeru ahli majlis perlu memikul peranan penting sebagai penggerak di peringkat PBT.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kelantan 2026 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada seramai 288 orang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan yang telah dilantik bagi sesi tahun 2026.

“Pelantikan ini merupakan pengiktirafan dan manifestasi kepercayaan besar kerajaan negeri, yang hadir bersama amanah dan tanggungjawab berat untuk digalas demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli majlis sesi terdahulu yang disifatkan telah mencurahkan khidmat bakti dengan penuh kesungguhan dan dedikasi kepada PBT serta masyarakat setempat.


Menurutnya, setiap PBT telah diarahkan untuk menyediakan dan melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Pintar berpandukan Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040.

“Tanggungjawab ahli majlis adalah memastikan perancangan tersebut benar-benar diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi impak kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau menegaskan, selain memfokuskan pembangunan dan pengurusan infrastruktur fizikal, ahli majlis juga mempunyai amanah besar membina peradaban masyarakat.


Katanya lagi, keutamaan harus diberikan kepada pembinaan insan dari aspek akhlak, rohani dan pemikiran sebelum membangunkan struktur fizikal serta kemajuan material.

“Saya teringat satu ungkapan yang masyhur iaitu pembinaan insan didahulukan sebelum menbina bangunan. Maksudnya keutamaan adalah membina manusia dari sudut akhlak, rohani dan pemikiran sebelum membina struktur fizikal dan kemajuan material,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments