TUMPAT: Persatuan Peniaga Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor menganjur Kuliah Dhuha Perdana Khas sempena sambutan Israq Mikraj di bulan Rejab.
Mereka mengundang pendakwah bebas Ustaz Mokhtar Yaakob pada program yang diadakan di perkarangan Surau Darussajidin KBC hari ini.
Hadir sama Adun Pengkalan Kubor Datuk Wan Roslan Wan Hamat, wakil-wakil jabatan kerajaan, ahli jawatankuasa persatuan, peniaga dan penduduk tempatan.
Wan Roslan berkata, program itu sebagai sebahagian usaha bagi menceriakan KBC dengan pengisian aktiviti kerohanian.
“Semoga segala ilmu yang disampaikan menjadi panduan, menambahkan keimanan serta menjadi asbab perubahan diri ke arah yang lebih baik.
“Semoga Allah SWT memberkati majlis ini dan menerima segala usaha kita dalam menuntut ilmu,” katanya pada pada program berkenaan.
Kawasan Bebas Cukai pengkalan Kubor diwujudkan di bawah Seksyen 65 Akta Kastam 1967. Pemegang lesennya Majlis Daerah Tumpat bermula 10 Oktober 1989.
KBC Pengkalan Kubor terletak di dalam kawasan berpagar yang dilengkapi gudang-gudang perniagaan, bazar dan gerai. Sebahagian besar peniaga merupakan penduduk tempatan.
Bermacam-macam jenis barangan dijual termasuk pakaian, makanan, peralatan dapur, toto dan pelbagai lagi di mana kebanyakannya dibawa masuk dari Thailand.
KBC Pengkalan Kubor diwujud bertujuan menarik pelancong tempatan dan asing yang keluar masuk melalui Kompleks Imigresen Pengkalan Kubor dan Takbai, Thailand.
Lokasi tersebut menjadi tumpuan ramai pada musim persekolahan dan hujung minggu.
Bagaimanapun selepas pandemik Covid-19, lokasi perniagaan terbabit agak lenggang dengan kehadiran pengunjung.



0 Comments