KUALA LUMPUR:
Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarkat
perlu dilihat seimbang serta tidak merugikan mana-mana negara.
Ahli Parlimen Parit Muhammad Ismi Mat Taib berkata, perjanjian itu belum lagi diratifikasikan sepenuhnya, namun terus dipertikaikan termasuk kesungguhan kerajaan samada melakukan rombakan atau kekal terma asal.
Katanya, kerajaan tidak perlu bersikap pasif sehingga mengorbankan kepentingan melalui penguatkuasaan perjanjian itu.
“Lebih-lebih lagi pertelingkahan perdagangan antarabangsa semakin memuncak kebelakangan ini.
“Adakah terdapat usaha atau perancangan kerajaan untuk menilai semula, menambah baik atau merundingkan semula terma perjanjian itu agar lebih seimbang.
"Tindakan segera perlu dilakukan tanpa mengambil masa lama berkaitan hal tersebut, jangan sampai nasi menjadi bubur," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
ART dimeterai pada 26 Oktober lalu bertujuan meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, terutama untuk melindungi eksport semikonduktor Malaysia daripada tarif tinggi Amerika Syarikat.
Bagaimanapun perjanjian itu masih belum diratifikasi kerana Malaysia dalam proses rundingan terakhir untuk mendapat jaminan bertulis mengenai isu dasar domestik seperti subsidi dan kebebasan autonomi negara.
Muhammad Ismi juga berkata, masalah scammer dan penipuan transaksi dalam talian masih berleluasa dan dianggap gagal dibendung secara berkesan walaupun pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan.
Kata beliau kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap evolusi taktik jenayah scammer menggunakan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, tahap kesedaran rakyat perlu dipertingkat memandangkan penipuan atas talian kini bukan bersifat kecil-kecilan dan berkembang menjadi jenayah terancang.
"Mereka mampu manipulasi psikologi mangsa serta eksploitasi kelemahan sistem kewangan dan penguatkuasaan, mangsa juga melibatkan golongan profesional," katanya.



0 Comments