Oleh Intan Lestari |
KUALA
LUMPUR: Ujian diagnostik sebagai syarat
kemasukan usia enam tahun ke darjah satu bermula sesi persekolahan 2027
mencetus tekanan baharu kepada ibu bapa.
Ujian tersebut yang disyarat peringkat awal Kementerian Pendidikan memaksa anak-anak perlu bersedia sejak usia awal untuk lulus ujian saringan tersebut.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, keadaan itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada keluarga berkemampuan menghantar anak ke pusat pembelajaran kelolaan swasta.
Manakala keluarga kurang berkemampuan terus terpinggir dalam arus pendidikan.
“Walaupun dasar itu dinyatakan bersifat pilihan kepada ibu bapa, pelaksanaannya berpotensi menimbulkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan awam, khususnya kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
“Isu ini bukan sekadar soal umur kemasukan, tetapi melibatkan tekanan ekonomi keluarga, keadilan sosial serta hak asasi kanak-kanak untuk mendapat pendidikan asas secara saksama,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Pada 20 Januari lepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 sebagai reformasi sistem pendidikan Malaysia.
Dasar tersebut termasuk kemasukan Tahun Satu seawal enam tahun, prasekolah percuma, dan penilaian akademik awal.
Menjawab soalan Siti Zailah, perdana menteri memberitahu kerajaan bersetuju ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun tidak dilaksanakan.
Menurutnya perkara itu diteliti termasuk kebimbangan pelaksanaan cadangan ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif kepada kanak-kanak.
Siti Zailah juga berkata, kos pendidikan awal kanak-kanak ketika ini semakin membebankan ibu bapa, terutama dalam keadaan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya yuran tadika swasta mencecah ratusan hingga ribuan ringgit sebulan dilihat sebagai beban besar, sekali gus memberi peluang kemasukan awal ke Tahun Satu sebagai penjimatan bagi sesetengah keluarga.
Beliau juga mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sistem pendidikan negara, termasuk kesesuaian kurikulum Tahun Satu, latihan guru, serta kemudahan dan infrastruktur sekolah untuk menampung murid lebih muda.
“Sekiranya sistem belum benar-benar bersedia, risiko tekanan emosi murid, keciciran awal dan beban tambahan kepada guru adalah sangat besar,” katanya.
Sehubungan itu, Siti Zailah tidak mahu kerajaan menjadikan kanak-kanak usia enam tahun sebagai ‘tikus makmal’ dalam eksperimen dasar pendidikan.




0 Comments