Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Program forum pengkisahan Gaza sempena Karnival Kubang Kerian Sejahtera (KuKeS) berjaya mengumpul hampir RM15,000 menerusi sesi bidaan amal barangan milik pimpinan PAS.
Antara barangan yang dibida milik Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berupa parang sembelih dan cincin, selain parang sembelih milik Adun Demit, Ustaz Mohd Asri Daud.
Barangan peribadi milik dua pimpinan terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang hadir. Selain itu, jam tangan dan keris turut dibida, menjadikan keseluruhan kutipan bidaan mencecah hampir RM15,000.
Kesemua hasil bidaan tersebut akan disumbang bagi membantu umat Islam di Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan dan penindasan berterusan oleh rejim haram zionis.
Sempena program berkenaan diadakan forum yang menampilkan Adun Batu Buruk Dr Khalil Abdul Hadi dan penganalisis politik Timur Tengah Dr Kamaruzzaman Yusuf, manakala Ketua Penerangan PAS Kota Bharu Ustaz Abdul Malek Abdul Karim sebagai moderator.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, solidariti umat Islam di Malaysia terhadap penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin begitu penting memandang mereka begitu lama ditindas.
Mohd Asri pula merakamkan penghargaan kepada semua pembida dan penyumbang di atas sokongan dan keprihatinan yang ditunjukkan.
Sebelum itu, aktivis Sumud Flotilla, PU Rahmat turut berkongsi pengalaman permusafiran beliau baru-baru ini serta situasi semasa rakyat Gaza.
Karnival Kubang Kerian Sejahtera yang berlangsung bermula 14 hingga 17 Januari menawarkan pelbagai program menarik di tapak karnival Mydin Mall Tunjong.



0 Comments