PAS-PN siap sedia hadapi PRN Melaka

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: PAS dan Perikatan Nasional (PN) sudah bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan  tahun ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persediaan awal telah digerakkan memandangkan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini berada pada fasa matang.

Menurut beliau, persiapan itu turut merangkumi keseluruhan jentera Perikatan Nasional di negeri berkenaan.

"Jentera PAS bersama Perikatan Nasional di Melaka berada dalam keadaan bersedia. Kita mempertahan pendekatan terbuka dengan agenda penyatuan ummah.

“Kita menjangkakan PRN akan diadakan pada tahun ini, cuma persoalannya sama ada pilihan raya umum akan berlangsung serentak atau sebaliknya,” katanya selepas program Malam Cinta Gaza, sempena Karnival  Kubang Kerian Sejahtera (KuKeS) semalam.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim menegaskan PAS sentiasa membuka ruang kepada mana-mana pihak yang ingin bergerak seiring dalam usaha memperkukuh penyatuan ummah di negara ini.

Katanya, pendekatan tersebut melibatkan pelbagai lapisan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta golongan bukan Islam yang bersifat sederhana dan tidak ekstrem.

“Kita bersedia menerima penyertaan NGO, parti-parti politik serta individu bukan Islam yang tidak ekstrem dalam kerangka penyatuan ummah. 

“Usaha penyatuan ummah perlu digerakkan secara menyeluruh merangkumi semua pihak,” ujarnya.

Menurutnya penyatuan itu perlu berteras matlamat bersama yang melihat kepentingan umat sebagai  perjuangan kolektif, khususnya dalam kalangan orang Melayu-Islam, tanpa mengetepikan kepelbagaian kaum lain. 

Post a Comment

0 Comments