Galeri Stong Geopark siap dibina


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 11 Januari – Galeri Stong Geopark telah siap dibina dan kini memasuki fasa pengisian pameran bagi memperkenalkan khazanah geologi dan warisan alam Gunung Stong, sebelum dibuka kepada umum.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, galeri tersebut merupakan bangunan baharu di bawah pengurusan Muzium Negeri Kelantan dan bakal menjadi pusat rujukan berkaitan Stong Geopark.

“Saya mengadakan lawatan kerja dan tinjauan ke Galeri Stong Geopark, sebuah bangunan baharu di bawah pengurusan Muzium Negeri Kelantan.


“Bangunan ini telah siap dibina dan kini berada pada fasa pengisian pameran. Inilah peringkat penting sebelum galeri ini dibuka kepada umum, kerana di sinilah kandungan cerita Stong Geopark akan dibentuk dan disampaikan kepada pengunjung,” katanya di laman rasmi pada Khamis.

Terdahulu, beliau diiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin dan Pengarah Muzium Negeri Kelnatan Norhalis Mohamed Noor melawat galeri tersebut pada Rabu.

Menurutnya, Stong Geopark mempunyai nilai geologi, biodiversiti dan landskap semula jadi yang besar, merangkumi Gunung Stong, air terjun jelawang, rangkaian gua serta kawasan sekitarnya yang menjadi tarikan utama.


“Gunung Stong, air terjun Jelawang, rangkaian gua dan kawasan sekitarnya bukan hanya tarikan alam, tetapi sebahagian daripada khazanah ilmu dan warisan negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, galeri tersebut akan berperanan sebagai pusat interpretasi serta lokasi rujukan awal kepada pelajar, penyelidik dan pelancong sebelum melakukan aktiviti lapangan.

“Galeri ini akan berperanan sebagai pusat interpretasi. Tempat rujukan awal untuk pelajar, penyelidik dan pelancong memahami Stong Geopark sebelum turun ke lapangan. Ia juga membuka ruang pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan alam,” jelasnya.

Beliau berharap galeri tersebut akan menjadi mercu tanda baharu negeri.

“Insya Allah, dengan kerjasama semua pihak, Galeri Stong Geopark akan menjadi satu lagi mercu tanda ilmu dan pelancongan berteraskan warisan di Kelantan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments