KOTA BHARU: Majlis
Agama Islam Kelantan (MAIK) melaksanakan inisiatif membuat kajian semula fatwa berkaitan
zakat padi yang dikenakan kepada pesawah khususnya di Kelantan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah itu memberi tumpuan kepada usaha bagi menyesuaikan beban ekonomi yang ditanggung pesawah.
Walaubagaimanapun kata beliau, kajian semula fatwa terbabit termasuk mengenai keharusan menolak kos operasi seperti benih, baja racun dan sewa jentera sebelum zakat ditunaikan.
"Perbincangan berkisar berkenaan isu zakat padi yang melibatkan kaedah pengiraan, kadar sebenar hasil padi semasa serta cabaran dihadapi pesawah di Kelantan.
"Turut disentuh berkaitan mekanisma pelaksanaan zakat agar selari dengan realiti sumber air, infrastruktur, kos input mekanisasi dan perubahan landskap pertanian," katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Terdahulu Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan itu berkongsi pandangan berkaitan penyelidikan fatwa Kajian Semula Kadar Pengeluaran Zakat Padi di Kelantan bersama Pegawai Penyelidik MAIK, Ustaz Mohd Fauzan Abdullah.
Selain kos penanaman yang tinggi, turut disentuh penyelarasan kadar dan nisab mengikut nilai ekonomi semasa dan garis kemiskinan.
Tuan Mohd Saripudin berkata, kajian tersebut menilai keperluan menyeragamkan kadar zakat antara 5 peratus, kos pengairan dan 10 peratus dalam penggunaan air hujan semulajadi supaya lebih adil mengikut teknologi pertanian semasa.
“Apa yang penting bagi memastikan fatwa zakat yang ditetapkan sentiasa relevan dengan perubahan industri padi dan beras termasuk impak penyusutan hasil dan kenaikan harga input pertanian,” ujarnya.
Sebelum ini Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memberi ruang kepada negeri-negeri untuk menyelaraskan kaedah taksiran supaya sampai kepada rakyat.



0 Comments