KOTA BHARU: Industrial Code of Practice (ICOP) Keselamatan Pengangkutan Awam Darat menggariskan had maksimum pemanduan lapan jam sehari dan rehat minimum 30 minit selepas empat jam pemanduan.
Selain itu pemantauan GPS berterusan, audit dalaman syarikat setiap enam bulan, latihan keselamatan tahunan pemandu serta penubuhan jawatankuasa keselamatan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Masita Mat Isa berkata, elemen itu menjadi teras utama dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan industri pengangkutan awam darat di negara ini.
Katanya, ICOP bukan sekadar garis panduan, sebaliknya perlu dijadikan budaya kerja di setiap peringkat organisasi bagi membina ekosistem pengangkutan awam yang selamat, bertanggungjawab dan mampan.
“ICOP menekankan lima elemen utama iaitu pengurusan organisasi, pengurusan pemandu, kenderaan, risiko dan rekod,” katanya pada majlis pelancaran Kempen ‘Saya Sihat, Saya Selamat’ di Depo Konsortium E-Mutiara Berhad, di sini, hari ini.
Kempen berkenaan dianjurkan Konsortium E-Mutiara Berhad bagi menyemai kesedaran keselamatan dan kesihatan dalam kalangan warga kerja serta pemandu pengangkutan awam.
Masita berkata, pendekatan sistematik melalui ICOP berupaya mengurangkan risiko kemalangan, meningkat profesionalisme operasi serta membina keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan bas.
APAD memberi penekanan pendekatan advokasi, pencegahan dan pemantauan berterusan, bukan hanya tindakan punitif seperti penggantungan atau pembatalan lesen.
Menurutnya juga pada tahun 2025, APAD merekod sebanyak 659 tindakan punitif terhadap pengendali pengangkutan awam, iaitu meningkat 33 peratus berbanding 441 tindakan pada tahun 2024, melibatkan penggantungan dan pembatalan lesen atau permit kenderaan.
“Statistik tersebut menunjukkan masih terdapat pengendali yang belum mematuhi ICOP sepenuhnya.
“Kempen ‘Saya Sihat, Saya Selamat’ membawa mesej jelas penjagaan kesihatan dan keselamatan bermula dengan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Konsortium E-Mutiara Berhad Naemah Yaacob berkata, pihaknya melancarkan kempen tersebut sebagai inisiatif meningkatkan kesejahteraan pemandu serta memperkukuh tahap keselamatan operasi perkhidmatan bas awam.
Menurutnya juga peserta kempen turut menjalani pemeriksaan kesihatan asas termasuk pengukuran Indeks Jisim Badan (BMI) serta sesi penerangan pemakanan sihat yang dikendalikan ahli dietetik.
“Pendekatan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu dan warga kerja mengenai kepentingan gaya hidup sihat serta keselamatan di tempat kerja.
“Konsortium E-Mutiara Berhad komited untuk terus memperkukuh aspek keselamatan, meningkatkan profesionalisme pemandu serta membina keyakinan penumpang terhadap perkhidmatan bas awam yang disediakan,” ujarnya.
Sempena majlis itu Masita turut melawat bilik kawalan operasi bagi meninjau sistem pemantauan bersepadu yang merangkumi penggunaan GPS, jadual perjalanan, status pemandu serta mekanisme respons kecemasan.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.





0 Comments