Islam di sisi Umno sekadar catatan perlembagaan parti

 

Oleh Salmah Mat Husain |

PASIR MAS: Kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Umno meletakkan Islam sebagai dasar parti hanya sekadar retorik politik.

Ketua Penerangan PAS Pasir Mas, Rozi Muhamad berkata, kenyataan itu tidak selari dengan realiti pentadbiran parti itu dan negeri-negeri yang mereka kuasai.

Katanya, sekiranya Umno benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam, sudah tentu parti itu boleh laksanakan seperti apa yang dilakukan di Kelantan termasuk menutup premis judi, mengharam konsert melampau, mengawal jualan arak dan pelbagai lagi.

“Umno boleh laksanakan di negeri yang masih terajui iaitu Johor dan Melaka. Namun sehingga sekarang belum kelihatan seperti apa yang dilaksanakan di Kelantan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Presiden Umno dilapor berharap PAS akan 'terbubar sendiri' kerana Umno lebih awal meletakkan Islam di hadapan menerusi pindaan perlembagaan parti pada 2019.

Menurutnya Umno banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Rozi, hakikatnya terdapat perbezaan yang amat ketara antara PAS dan Umno dalam serta melaksanakan syiar Islam sebagai dasar perjuangan.

Katanya, apa yang disebut Zahid hanya sekadar meletakkan Islam melalui pindaan perlembagaan parti itu pada 2019 dan bukan mempraktik dalam kehidupan harian.

“Zahid hanya sekadar menjadikan Islam sebagai bahan kempen ketika terdesak semasa berhadapan dengan PAS.

“Begitu juga kenyataan Zahid yang menggambarkan PAS terbubar sendiri’ memperlihatkan ketakutan ekoran penolakan rakyat terhadap Umno.

“Umno sekarang hanya tinggal 26 kerusi parlimen berbanding 54 kerusi yang dimenangi pada PRU-14,” katanya yang juga Adun Tendong.

Menurutnya juga Islam di sisi Umno hanya sekadar skrip politik yang diulang apabila kuasa semakin rapuh, sedangkan PAS menterjemahkan amalan Islam dalam pentadbiran di peringkat kerajaan.


 

Post a Comment

0 Comments