![]() |
| Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 15 Januari – Pameran Wajah Seni Warisan Malaysia yang berlangsung di Balai Seni Lukis Kelantan dari 25 November 2025 hingga 29 Januari 2026 tampil sebagai medan apresiasi dan wacana seni visual tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem seni dan ekonomi kreatif negeri bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, Kelantan dikenali sebagai negeri yang berteraskan nilai keislaman dan adat resam bahkan memiliki khazanah seni dan budaya yang subur serta berakar sejak turun-temurun.
Menurutnya, seni lukis berperanan sebagai medium penting yang merakam sejarah, pemikiran dan kehalusan jiwa masyarakat, sekali gus menjadi cermin kepada perjalanan zaman dan pembentukan identiti kolektif.
“Seni visual tidak hadir sekadar untuk dinikmati secara estetik, tetapi berfungsi sebagai dokumen peradaban yang menyimpan nilai, gagasan dan pengalaman masyarakat,” katanya ketika merasmikan program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di pekarangan Balai Seni Lukis Kelantan, pada Rabu.
Program berkonsep santai itu menampilkan Tokoh Seni Negara yang juga pelukis tersohor Malaysia Ismail Embong bersama dua anaknya, Fatimah Rohani (Emma Maembong) dan Siti Nur ‘Ashikin (Shikin Maembong), yang memperlihatkan kesinambungan tradisi dan pemikiran seni dalam sebuah keluarga pengkarya tersohor.
Sepanjang tempoh pameran, karya-karya keluarga Ismail Embong dipamerkan kepada umum dan ditawarkan untuk jualan bermula pada harga RM25,000, tertakluk kepada rundingan mengikut medium, saiz dan motif pengolahan visual.
YB Zamakhshari memaklumkan, pameran tersebut mendapat sokongan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan sebagai sebahagian usaha menyahut aspirasi nasional dalam merancakkan sektor pelancongan budaya, di samping mengukuhkan kedudukan Kelantan dalam peta seni visual negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan Balai Seni Lukis Kelantan mencerminkan iltizam berterusan kerajaan negeri untuk memelihara, mengangkat dan memartabatkan seni visual tempatan agar kekal relevan dalam arus perubahan zaman.
“Balai seni ini bukan sekadar ruang pameran, malah berfungsi sebagai pusat dokumentasi dan rujukan seni visual, platform pembinaan bakat seniman muda, ruang interaksi antara seniman dan masyarakat serta pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kreatif negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan pameran ini, termasuk kerajaan negeri, penggiat seni serta agensi yang memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung.
Tambahnya, pameran berkenaan turut memperkenalkan kepada masyarakat kewujudan Balai Seni Lukis Kelantan, yang ditubuhkan pada 28 Mac 1988 dan telah disempurnakan perasmiannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Kelantan, sebagai institusi penting dalam landskap seni tampak negeri.
Oleh itu, YB Zamakhshari berharap balai seni ini akan terus menjadi wadah subur yang melahirkan lebih ramai pelukis dan pengkarya tempatan berwibawa, seterusnya berupaya menembusi pentas nasional dan antarabangsa.
“Seni yang berpaksikan nilai, adab dan jati diri mampu menjadi jambatan antara generasi lama dan baharu. Saya berharap balai seni ini sentiasa dihidupkan dengan pameran, bengkel, diskusi dan program seni yang inklusif serta berimpak,” katanya.
Beliau juga optimis Pameran Wajah Seni Warisan Malaysia mampu menarik kehadiran peminat seni, pelajar dan pelancong, sekali gus memperteguh peranan seni visual sebagai wahana penyatuan masyarakat dan pembangunan budaya negeri.




0 Comments