Isu halal tidak boleh dipandang mudah

 

Oleh Intan Lestari |

KUALA LUMPUR: Isu penternakan babi di Selangor perlu ditangani dengan lebih tegas dan berhemah oleh pihak berkuasa memandangkan negeri itu mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan penyelesaian terbaik melalui penggubalan dasar yang jelas, penguatkuasaan undang-undang tegas serta dialog berlandaskan saling hormat antara semua pihak berkepentingan.

“Isu ini bukan soal menindas mana-mana kaum atau agama, tetapi berkaitan dengan usaha memelihara hukum Allah dan sensitiviti umat Islam sebagaimana dijamin dalam perlembagaan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilapor murka terhadap perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda tidak bersetuju penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Namun, baginda akur kewujudan penternakan babi dalam skala kecil dan terkawal untuk memenuhi keperluan sumber makanan rakyat bukan Islam di Selangor.

Sebelum itu media melaporkan kerajaan Selangor merancang memusatkan ladang ternakan babi moden di Bukit Tagar dengan kapasiti 100,000 ekor babi melibatkan kawasan seluas 500 ekar.

Pada Oktober 2022 media melaporkan terdapat lapan premis penternakan babi berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di tanah milik persendirian dikenal pasti menjadi punca pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat.

Isu tersebut lebih hangat apabila ahli parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dilapor berkata, budu dan belacan lebih busuk berbanding daging babi.

Menurut beliau komunitinya tidak pernah menghina pilihan makanan orang lain, namun mereka menjadi sasaran hanya kerana makan babi.

Siti Zailah yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan berkata, isu halal bukan perkara remeh kerana ia berkait secara langsung dengan akidah, ibadah dan kehidupan umat Islam.

“Allah SWT dengan jelas memerintahkan umat Islam supaya hanya memakan makanan yang halal, manakala babi termasuk dalam perkara yang diharamkan,” ujarnya.

Menurutnya juga langkah pencegahan pencemaran, kawalan kawasan ternakan serta perlindungan terhadap kepentingan umat Islam perlu diberi keutamaan bagi memastikan sensitiviti dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.

Beliau turut mengingatkan umat Islam bersikap adil dan berakhlak dalam menangani isu berkenaan, tanpa menimbulkan kebencian atau permusuhan antara kaum dan agama.


 

Post a Comment

0 Comments