Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Thailand
kini berada dalam fasa kempen pilihan raya sedikit sebanyak boleh memberi kesan
kepada pelancong berkaitan aspek keselamatan.
Oleh itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor menasihatkan rakyat Kelantan yang merancang percutian ke Thailand disaran menangguh perjalanan buat sementara waktu.
Katanya, mereka disaran menangguh sehingga proses pilihan raya negara itu selesai bulan depan.
“Ini kerana beberapa insiden keselamatan termasuk serangan bom dilapor berlaku baru-baru ini. Situasi sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa ketika tempoh pilihan raya berlangsung di negara terbabit.
“Mereka sedang berkempen pilihan raya. Jadi, sekiranya tiada urusan yang benar-benar penting, lebih baik perjalanan ke Thailand ditangguh buat sementara,” katanya selepas menghadiri majlis Ramadan Preview Sentuhan Rasa Holiday Villa semalam.
Baru-baru ini media melaporkan pihak keselamatan Thailand bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia memburu tiga suspek yang disyaki terlibat dalam serangan bom serentak ke atas stesen minyak di selatan Thailand 11 Januari lalu.
Suspek dipercayai bersembunyi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Kempen pilihan raya umum di Thailand bermula 27 Disember lalu apabila parti-parti politik mula mendaftarkan calon di Bangkok dan 76 wilayah lain bagi merebut kerusi Dewan Perwakilan.
Hari pengundian dijadualkan pada 8 Februari, di mana pengundi akan memilih 500 ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh lima tahun menerusi sistem pilihan raya dua undi.
Kamarudin berkata, tempoh kempen pilihan raya di Thailand mengambil masa kira-kira sebulan.
Menurutnya suasana sensitif semasa kempen pilihan raya bukan hanya berlaku di Thailand, malah turut dialami beberapa negara lain.
“Di Malaysia, kita bersyukur kerana proses pilihan raya kebiasaannya berlangsung dalam keadaan yang lebih tenang berbeza dengan sesetengah negara,” katanya.



0 Comments