Jalan rosak di Gua Musang: KKR, kontraktor digesa ambil tindakan segera


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 8 Januari - Isu jalan rosak di Gua Musang berlarutan sehingga menimbulkan kesulitan dan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) serta kontraktor terlibat supaya mengambil tindakan segera dan serius bagi menangani masalah berkenaan demi keselamatan serta keselesaan rakyat.

Beliau berkata, kawasan jalan yang terjejas adalah di laluan sementara di bawah Projek Central Spine Road (CSR) Pakej 3.

“Projek ini berada sepenuhnya di bawah seliaan Unit Projek Khas, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia,” katanya menerusi media sosial, pada Rabu.

Menurutnya, bidang kuasa serta tanggungjawab berkaitan penyelenggaraan dan pembaikan jalan berkenaan terletak di bawah pihak pelaksana projek di peringkat Persekutuan.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius isu berkenaan dan berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan risiko kemalangan serta penderitaan berterusan kepada pengguna jalan raya.

“Keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan dan langkah proaktif wajar dilaksanakan tanpa berlengah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments