Kelab silat disaran daftar di Pesuruhjaya Sukan

 

TUMPAT: Persatuan atau kelab silat disaran mendaftar dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY) bagi melayakkan mereka menerima sokongan, pengiktirafan serta bantuan kerajaan.

Timbalan Pengarah (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Hazri Nizam Zakaria berkata, kelab silat yang belum mendaftar disaran membuat pendaftaran secara rasmi.

Katanya, Jabatan Belia sentiasa komited menyokong program pembangunan belia yang bersifat holistik, berteraskan sukan, budaya dan pembinaan jati diri.

“Seni silat merupakan antara medium penting yang bukan sahaja membentuk fizikal, malah memperkukuh disiplin, sahsiah dan nilai kepimpinan dalam kalangan belia,” katanya pada majlis perlimau gelanggang siri ketiga di Gelanggang Silat Pok Muda Sungai Pinang Ahad lepas.

Turut hadir Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan, Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Jawi Kelantan Ahmad Basri Hashim, guru-guru silat, ibu bapa pesilat dan penduduk Kampung Sungai Pinang.

Hazri Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Seni Silat Olahraga Pok Muda Sungai Pinang (SPEDIH) atas komitmen menganjurkan program berteraskan warisan dan pembangunan belia.

Menurut beliau, majlis perlimau gelanggang bukan sekadar acara adat, malah manifestasi usaha berterusan memelihara dan memartabatkan seni silat merentasi generasi.

Katanya, program itu selari dengan aspirasi pembangunan belia dan sukan bagi membentuk jati diri, disiplin dan sahsiah belia.

Beliau juga berkata, Jabatan Belia dan Sukan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif serta bantuan kewangan kepada pertubuhan belia dan sukan bagi menggalakkan kerjasama strategik dengan jabatan tersebut.

Sementara itu Mohd Adanan merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur di atas kejayaan menganjurkan program berkenaan secara konsisten.

Menurut beliau, penglibatan aktif masyarakat Kampung Sungai Pinang mencerminkan semangat ukhwah, kesepakatan dan perpaduan yang kukuh.

Dasar Belia

“Seni silat dijadikan medium pembentukan jasmani, sahsiah dan disiplin belia, di samping memelihara warisan bangsa daripada terhakis arus pemodenan.

“Usaha ini selaras dengan Dasar Belia Negeri Kelantan dan Dasar Anak Muda Kelantan yang menekankan nilai ubudiyyah, masuliyyah dan itqan berlandaskan al-Quran dan Sunnah,” ujarnya.

Ahmad Basri pula berkata, kelangsungan seni silat sebagai warisan budaya perlu berakar umbi dalam ekosistem sosial kampung yang merangkumi nilai, adab dan struktur pewarisan ilmu.

Menurut beliau, seni silat bukan sekadar seni bela diri, sebaliknya merupakan sistem pengetahuan dan falsafah hidup yang diwarisi secara langsung melalui hubungan guru dan murid.

Selain itu keperluan pendokumentasian akademik yang sistematik bagi mengelakkan khazanah warisan tersebut daripada terpinggir atau disalah tafsir.

Beliau yang juga pelajar doktor falsafah (PhD) Pengajian Warisan Kebudayaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencadangkan sinergi strategik antara pengamal silat, komuniti, institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan bagi membangunkan akademik nasional seni silat.

“Saya mencadangkan kumpulan seni silat di kampung-kampung di seluruh Kelantan dapat disatukan bagi tujuan perpaduan, penyelidikan dan tadbir urus lebih tersusun,” ujarnya.

Majlis itu melibatkan 50 belia yang menyertai perlimau silat.

Post a Comment

0 Comments