Oleh Salmah Mat Husain |
TUMPAT: Menjelang
sesi baru persekolahan minggu depan, ibu bapa kategori B40 merupakan golongan
paling risau apabila terpaksa menyediakan kelengakapan persekolahan anak-anak.
Lebih mencabar lagi bagi keluarga B40 yang mempunyai ramai anak.
Oleh itu bagi membantu keluarga terbabit, kerajaan Kelantan menyalurkan peruntukan kepada setiap Adun bagi membantu ibu bapa menyediakan keperluan persekolahan anak.
Di Dun Pengkalan Kubor sebanyak RM30,000 diperuntuk bagi pelaksanaan ‘Program Back to School’ sebagai usaha meringankan beban keluarga menjelang sesi baharu persekolahan.
Adun Pengkalan Kubor Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, bantuan tersebut disalur untuk penyediaan pakaian serta beg sekolah kepada pelajar daripada keluarga yang memerlukan.
Menurutnya program berkenaan dilaksanakan dalam dua sesi dengan melibatkan keseluruhan 339 pelajar.
“Pada sesi pertama seramai 174 pelajar menerima bantuan, manakala sesi kedua melibatkan 165 penerima,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar keluarga miskin di sini semalam.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri berkata, program itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban ibu bapa, malah suntikan semangat kepada anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan.
Program Back to School diadakan di seluruh Dun di Kelantan sebagai inisiatif berterusan kerajaan negeri memastikan kebajikan pelajar khususnya golongan berpendapatan rendah terbela.



0 Comments