Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 12 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemasin Semerak (IADA Kemasin Semerak) optimis mencapai sasaran peningkatan purata hasil padi daripada tiga tan sehektar kepada empat tan sehektar pada tahun 2026.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata beberapa inisiatif strategik telah dirangka bagi merealisasikan sasaran tersebut termasuk pemantapan jadual penanaman padi, penggunaan benih berkualiti tinggi serta pengurusan baja yang lebih efisien menerusi pendekatan Precision Farming.
Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan produktiviti hasil padi dan dapat menjamin kelestarian sektor pertanian serta menambah pendapatan golongan petani di negeri ini.
“IADA Kemasin Semerak memainkan peranan penting dalam pembangunan pertanian bersepadu di kawasan Kemasin dan Semerak, khususnya dari aspek pengurusan pengairan dan saliran, pembangunan sawah padi serta pemerkasaan petani,” katanya menerusi media sosial, pada Ahad.
Terdahulu Dato' Tuan Mohd Saripudin menerima kunjung hormat daripada Pengarah baharu IADA Kemasin Semerak Md Faizal Hassan.
Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Tuan Mohd Saripudin merakamkan ucapan selamat datang dan tahniah kepada Md Faizal atas pelantikan berkenaan.
“Saya berharap kepimpinan beliau dapat membawa kemajuan, inovasi dan meningkatkan lagi hasil pertanian yang lebih mapan demi kesejahteraan rakyat Kelantan,” ujarnya.



0 Comments