Projek pembinaan jambatan Taman Sabariah siap


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 12 Januari - Projek pembinaan jambatan di Taman Sabariah yang menghubungkan Dewan Negeri (DUN) Kijang dan DUN Tanjung Mas telah siap sepenuhnya dan kini boleh digunakan dengan selamat oleh penduduk setempat.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata, siapnya projek itu memberi kelegaan kepada rakyat hasil tindakan pantas kerajaan negeri susulan aduan yang diterima berhubung keadaan jambatan lama di kawasan berkenaan.


Menurutnya, laporan berkenaan diterima daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Mas YB Dato’ Rohani sebelum satu lawatan tapak dilakukan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu bagi menilai keadaan sebenar jambatan tersebut.

“Hasil lawatan itu, keputusan segera dibuat untuk melaksanakan kerja baik pulih secara menyeluruh. JPS telah mengambil tindakan awal dan proses tender dipercepatkan sebelum kontraktor memulakan kerja pembinaan pada Oktober 2025,” katanya menerusi media sosial, hari ini.


Beliau berkata, projek bernilai RM400,000 itu berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan hasil kerjasama baik antara kontraktor dan pihak pemantau daripada JPS.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi kerajaan serta pihak kontraktor atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan kemudahan awam serta keselamatan rakyat terus terpelihara,” katanya.



Post a Comment

0 Comments