Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 14 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan hasrat supaya unsur nadir bumi (REE) diproses sepenuhnya di negeri ini, meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran, agar nilai tambah yang terhasil dapat memberi manfaat maksimum kepada rakyat Kelantan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri tidak mahu REE hanya dikeluarkan dalam bentuk mentah, sebaliknya mahu aktiviti pemprosesan dan pembinaan kilang berkaitan dilaksanakan di Kelantan bagi menjana peluang pekerjaan serta pemindahan teknologi.
“Apa yang kita nak dengan REE ini ialah kita bukan sahaja jual dalam bentuk REE mentah, tetapi kita nak ia diproses di sini secara upstream, midstream dan downstream. Kalau boleh, sepenuhnya REE ini diproses di Kelantan,” katanya pada sidang media di Mabna, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi dan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lynas Malaysia, selain sedang berbincang dengan beberapa syarikat lain.
“Berkaitan dengan REE, kita sudah pun mengenal pasti beberapa tempat dan menandatangani MoU dengan Lynas dan sekarang ini kita sedang berbincang dengan beberapa syarikat melalui agensi-agensi kerajaan negeri terutamanya Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK),” ujarnya.
Beliau menjelaskan, setakat ini pengurusan REE masih tertakluk di bawah Enakmen Mineral sedia ada, manakala Dasar Luar Negara berkaitan REE berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan negeri katanya sedang menunggu dasar dan garis panduan jelas daripada Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa banyak syarikat dari dalam dan luar negara telah mengemukakan tawaran.
“Sekarang ini kita nak cari syarikat yang paling baik tawarannya. Ramai syarikat datang tawarkan, dari China, dari luar. Jadi kita dalam proses kenal pasti syarikat terbaik,” katanya.
Dato’ Dr Mohamed Fadzli menegaskan, fokus kerajaan negeri adalah memastikan sektor REE memberi pulangan optimum kepada Kelantan, di samping diurus secara teratur dan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

0 Comments