Lima kawasan mendulang emas diwartakan di Kelantan bagi fasa pertama


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 14 Januari - Kerajaan Negeri Kelantan mewartakan lima kawasan mendulang emas bagi pelaksanaan fasa pertama aktiviti berkenaan, kata Timbalan Menteri Besar YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, kawasan yang diwartakan ialah Sungai Tadoh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentiang di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang dan Sungai Bertam di Tanah Merah.

Menurutnya, pewartaan kawasan itu telah dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan aktiviti mendulang hanya dibenarkan dalam radius dua kilometer dari tapak yang akan ditanda di setiap lokasi bermula hari ini, 14 Januari 2026.

“Penandaan ini bertujuan memudahkan pendulang mengenal pasti kawasan yang dibenarkan serta membantu pihak berkuasa menjalankan pemantauan di lokasi terlibat,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, hari ini.

Dato' Dr Mohamed Fadzli berkata, kawasan yang diwartakan dikenal pasti mempunyai potensi emas berdasarkan maklumat orang awam dan pernah menjadi lokasi aktiviti mendulang sebelum ini.

Beliau menegaskan hanya pendulang yang memiliki lesen sah dibenarkan menjalankan aktiviti mendulang, manakala sebarang aktiviti mendulang tanpa lesen adalah satu kesalahan.

Tambahnya, setakat ini sebanyak 332 permohonan lesen mendulang emas diterima, dengan 178 pemohon sudah membuat bayaran pemprosesan lesen manakala selebihnya masih dalam proses tapisan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Lesen mendulang emas fasa pertama dijangka dikeluarkan pada 21 Januari 2026 dan pemegang lesen dibenarkan mendulang di semua kawasan yang telah diwartakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pendulang.

“Kerajaan negeri akan menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan semua syarat dipatuhi demi keselamatan dan kemaslahatan pendulang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dato' Dr Mohamed Fadzli memaklumkan dua syarikat pembeli emas telah berdaftar dengan Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan iaitu TCS Aurics Sdn Bhd dan Jadekey Sdn Bhd.

"Pembeli emas ini dicadangkan menjual hasil emas yang dibeli kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan iaitu Kelantan Gold Trade (KGT)," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sekiranya aktiviti mendulang berjalan dengan lancar, kerajaan negeri akan membuat kajian untuk perluaskan lagi kawasan mendulang.

"Kalau ada masalah berbangkit, kerajaan akan buat kajian untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Post a Comment

0 Comments