Oleh Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU: Sempena
sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kelantan dijangka menerima tempias dengan kehadiran
lebih ramai pelancong sempena Ramadan tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, Kelantan mempunyai keunikan yang tidak ada di tempat lain, iaitu solat tarawih di Madinah Ramadan.
Katanya, antara tarikan utama sepanjang Ramadan di Kelantan ialah solat tarawih di Madinah Ramadan dan berbuka puasa beramai-ramai di perkarangan Masjid Muhammadi.
“Berdasar tarikan tersebut kita menjangka lebih ramai pelancong datang ke negeri ini sepanjang Ramadan bagi merasai pengalaman iftar dan menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan dan masjid utama di Kelantan.
“Banyak masjid turut mengamalkan konsep seperti Madinah Ramadan dengan mengundang imam dari Timur Tengah. Ramadan tahun lalu ramai pelancong datang," katanya selepas majlis Preview Buffet Ramadan di Hotel Grand Riverview semalam.
Menurutnya juga kebanyakan hotel di Kota Bharu menawarkan pakej berbuka puasa dengan harga berpatutan.
Selain itu ada hotel menyediakan menu seperti nasi arab dan daging bakar di samping mengekalkan citarasa masakan kampung.
Sementara itu, Hotel Grand Riverview memperkenalkan konsep duduk bersimpuh atau bersila sebagai kelainan dalam sajian buffet Ramadan.
Pegawai Jualan dan Pemasarannya, Wan Aisyah Wan Llah berkata, konsep tersebut dijangka mendapat sambutan. Oleh itu pengunjung disarankan membuat tempahan awal.
Menurut beliau, hotel berkenaan turut memperkenalkan beberapa menu baru bagi menambah daya tarikan buffet Ramadan tahun ini.
“Walaupun promosi ikan bekok hanya diadakan selama tiga bulan sebelum ini, namun kerana sambutannya menggalakkan ia turut diselitkan dalam menu buffet Ramadan tahun ini.
“Turut disediakan gulai kawah menggunakan umbut pisang bagi mengangkat masakan tradisional sebagai sajian utama Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mengekalkan menu ikonik serta memperkenalkan elemen baharu bertujuan memberi pengalaman berbuka puasa yang lebih unik dan berbeza kepada pelanggan.




0 Comments