
KUALA LUMPUR: Pengiktirafan
terbaharu Memory of the World (MoW) UNESCO menambah lagi kejayaan selepas
Hikayat Hang Tuah (2001), Koleksi Cerita Panji (2017) dan Misa Melayu (2023) diiktiraf
badan terbabit.
Terbaharu MoW mengiktiraf dua manuskrip koleksi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) iaitu Asrar al-Arifin (MSS 1424 B) dan Syarab al-Asyiqin (MSS 2538) karya agung Hamzah Fansuri.
Hamzah Fansuri merupakan tokoh sufi dan sasterawan Nusantara abad ke-16.
MoW ialah badan Perlindungan Warisan Dokumentari Dunia dilancarkan pada 1992 bertujuan melindungi, memelihara dan mempromosikan warisan dokumentari dunia meliputi manuskrip, arkib dan rekod sejarah bernilai tinggi dari seluruh dunia.
Pengiktirafan itu merupakan hasil kerjasama pencalonan bersama PNM dan Perpustakaan Nasional Indonesia (PERPUSNAS) melalui manuskrip Syair Hamzah Fansuri (ML 83) dan Syair Anak Dagang (NB 2165).
Dan ia juga mengukuhkan kedudukan manuskrip Melayu sebagai sebahagian agenda penting daripada khazanah dokumentari global.
PNM memberitahu program terbabit memastikan bahan yang menjadi asas sejarah dan tamadun manusia dapat diakses oleh generasi kini dan akan datang.
“Pengiktirafan MoW bukan sekadar penghormatan, tetapi juga pemangkin kepada peningkatan usaha konservasi, pendigitalan serta penyelidikan ilmiah terhadap bahan dokumentari.
“Rekod cemerlang menempatkan Malaysia antara negara paling aktif di Asia Tenggara dalam usaha pemuliharaan warisan dokumentari menurut piawaian antarabangsa,” katanya pada kenyataan.
Pengaruh Hamzah Fansuri dalam kesusasteraan dan pemikiran Melayu Hamzah Fansuri sebagai tokoh perintis dalam penulisan tasawuf Melayu dan individu yang mempelopori penggunaan bentuk syair dengan skema rima a-a-a-a.
Beliau antara penulis Melayu terawal dalam tradisi kesusasteraan klasik yang biasanya tidak menzahirkan identiti pengarang. Hamzah meninggalkan legasi sangat besar dalam kesusasteraan dan pemikiran Islam di Nusantara.
Karya terbabit menjadi sumber rujukan utama dalam kajian sufisme Melayu dan menjadi model penulisan dalam bahasa Melayu klasik yang mempengaruhi generasi penulis dan ulama selepasnya.
Pemikirannya terus dikaji dan diapresiasi sarjana dan intelektual sehingga ke hari ini.
Karya-karya tersohor manuskrip Hamzah Fansuri boleh ditemui di pelbagai perpustakaan dan institusi di Malaysia, Indonesia, Belanda serta pusat akademik lain.
Hamzah Fansuri berjaya mengangkat bahasa Melayu sebagai medium falsafah, intelektual dan kerohanian yang bertaraf antarabangsa.
Dengan nilai sejarah, kesusasteraan dan kerohanian yang tinggi, manuskrip tersebut begitu penting kepada masyarakat Melayu dan dunia kerana ia menggambarkan tradisi intelektual Islam Nusantara yang unik.
Karya terbabit membuktikan ketinggian pemikiran tasawuf Nusantara dan peranan bahasa Melayu sebagai medium intelektual dan kerohanian bertaraf antarabangsa.



0 Comments