Oleh A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR: Kerajaan
diminta membanteras amalan rasuah yang menjejaskan rancangan pembangunan kerana
tindakan itu merugikan ekonomi, meningkatkan kos projek dan merosakkan
kepercayaan awam.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar bertitah segala perancangan dibuat tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa.
“Saya pernah sebut dahulu saya datang Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
"Saya amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya yakin ramai lagi di luar sana di jabatan kerajaan termasuk juga yang berada di dewan ini akan diburu sampai jumpa," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Malaysia Kelima Belas di Parlimen di sini hari ini.
Baginda juga meminta kerajaan memberi tumpuan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.
Menurut baginda perkara tersebut sewajarnya menjadi teras utama dalam perancangan pembangunan lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dijangka bermula tahun 2026 sehingga 2030.
Sultan Ibrahim turut menitahkan rakyat turut terlibat dengan menjadi mata-mata yang akan melaporkan kesalahan dan penyelewengan yang dilakukan pemimpin dan agensi kerajaan.
Baginda juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, cepat dan sempurna tanpa mengira pangkat serta kedudukan dalam kerajaan hari ini.
Selain itu, kerajaan perlu melantik hakim yang mempunyai pengalaman luas serta menyediakan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes berkaitan penyelewengan dan rasuah dapat diselesaikan segera.
"Rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah bukan sahaja penerima yang patut disiasat tetapi pemberi rasuah dan agen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan.
"Kepada Yang Berhormat dan penjawat awam ingatlah jawatan disandang adalah amanah rakyat, jika menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat awak adalah pengkhianat negara," titah baginda.



0 Comments