Oleh Salmah Mat Husain|
KOTA BHARU:
Keputusan kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan sebarang peruntukan kepada ahli
parlimen (MP) pembangkang disifatkan bercanggah dengan prinsip keadilan yang
dilaungkan kerajaan Madani.
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, perbezaan ketara peruntukan antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang membuktikan wujud layanan tidak seimbang dalam pengagihan dana awam.
Menurutnya, ahli parlimen kerajaan menerima peruntukan sekitar RM3.7 juta setahun, bersamaan RM11.1 juta bagi tempoh tiga tahun.
Sedangkan ahli parlimen pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan.
“Ini bermakna ahli parlimen pembangkang menerima RM0 setahun. Inilah realiti keadilan versi era madani,” katanya pada kenyataan.
Beliau berkata, sepatutnya 69 ahli parlimen pembangkang disalur peruntukan sejumlah RM255.3 juta setahun untuk kepentingan rakyat, namun ia terus dinafikan.
Syahir mempersoalkan ke mana perginya jutaan ringgit tersebut dan menegaskan bahawa sekatan peruntukan amat merugikan rakyat dan ia merupakan kezaliman.
“Setiap peruntukan yang disalurkan tertakluk kepada audit dan pemantauan ketat serta mesti dibelanjakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat. Jadi, apa sebenarnya yang ditakutkan dengan pembangkang?” ujarnya.
Beliau berkata, isu berkenaan sering dibangkitkan di Dewan Rakyat bagi melaksanakan pelbagai projek bagi manfaat rakyat termasuk membaiki jalan berlubang, jambatan rosak, rumah usang, masjid, sekolah daif, warga emas, pesakit dan anak yatim.
“Inilah realiti yang kami hadapi sebagai wakil rakyat. Sewajarnya peruntukan disalurkan secara adil dan saksama di setiap kawasan parlimen tanpa mengira perbezaan politik,” katanya.
Menurutnya juga biarpun dinafikan sebarang peruntukan, namun ahli parlimen pembangkang terus beristiqamah melaksanakan peranan semak dan imbang di Parlimen.
“Kami terpaksa menggunakan wang sendiri bagi membantu rakyat. Patah sayap bertongkat paruh, namun berundur pantang sekali,” katanya.


0 Comments