Oleh A Rahman Harun |
KOTA BHARU:
Sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap zionis Israel kini dianggap semakin
melemah khususnya sudut diplomasi dan sokongan awam, meskipun kempen ketenteran
masih diteruskan.
Menteri Besar, Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pengganas sebenar ialah Israel kerana melakukan penjajahan berterusan dengan menafikan hak kedaulatan Palestin.
Kata beliau umat Islam di seluruh dunia tidak lagi boleh mengharapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam membela nasib orang Islam ditindas kuasa besar.
"Macam mana kita nak buat kira, PBB pun sudah tiada, ada pada nama pun tak boleh buat apa dah, sebab itu kita orang Islam tidak ada cara lain, kita kena bina kekuatan dengan kita bersatu atas nama 'tali Allah'.
"Nak harapkan bangsa Arab membebaskan Baitul Maqdis, Arab pun pecah sesama sendiri, Arab ni dia berpakat untuk tidak berpakat, ini kena tahu itulah dunia Arab hari ini," katanya pada perasmian Minggu al-Quds Sedunia 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Dato Pati malam tadi.
Pidato Minggu Al-Quds Sedunia Negeri Kelantan 2026 bertema ‘Al-Quds & Gaza: Aspirasi Kian Hampir’.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS negeri, Datuk Abdullah Ya'kub dan Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis UUM, Prof Madya Dr Aminurashid Yatiban.
Pada sebelah petang diadakan konvoi motosikal oleh Alternative Riding Club.
Menurut Ustaz Mohd Nassuruddin kerakusan AS dalam konflik dunia sering dikaitkan doktrin hegemoni global, keinginan mengekalkan kedudukan kuasa besar tunggal melalui pengaruh ketenteraan, ekonomi, dan politik.
Malah negara itu terus memberi sokongan terhadap penjajahan Israel di Palestin yang bermula 14 Mei 1948 berlarutan sehingga kini.
Sementara itu Ustaz Ahmad berkata, Al-Quds merupakan simbol penyatuan ummah terhadap penderitaan rakyat Gaza.
Kata beliau tragedi kemanusiaan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Sejarah membuktikan Palestin dilemahkan bukan sahaja melalui senjata, tetapi juga melalui perpecahan. Maka, penyatuan ummah adalah kunci kekuatan dan kemenangan.
“Marilah kita terus istiqamah membela keadilan, memperbanyak doa, menyumbang bantuan kemanusiaan serta menyebarkan kesedaran dengan ilmu dan fakta.
“Insya-Allah, apabila umat kembali bersatu di atas kebenaran, aspirasi pembebasan Al-Quds dan Gaza akan semakin hampir,” katanya.
Manakala pagi tadi diadakan kuliah dhuha perdana di Medan Ilmu disampaikan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.



0 Comments