KUALA LUMPUR: Usia
tujuh tahun dianggap yang terbaik bagi anak-anak memasuki darjah satu selaras maksud Hadis baginda Nabi Muhammad SAW, supaya ajar anak solat ketika umurnya tujuh tahun.
Dan pada usia 10 tahun boleh dirotan sekiranya masih enggan mengerjakan solat dan suruhan agama.
Ahli Parlimen PN Baling Hassan Saad berkata, usia empat dan lima tahun sebagai persiapan untuk memasuki sekolah rendah.
“Saya bimbang umur enam tahun masuk darjah satu, mungkin ada dalam kalangan murid masih membawa botol susu ke sekolah.
“Memulakan alam persekolahan pada usia tujuh tahun dianggap lebih menghormati fitrah kanak-kanak yang lebih gemar bermain pada usia awal," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Media sebelum ini melaporkan bermula tahun 2027, pendaftaran ke Tahun Satu secara sukarela pada usia enam tahun akan dibuka secara lebih meluas sebagai sebahagian elemen dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.
Kerajaan juga memutuskan tiada ujian diagnostik bagi mengelakkan tekanan psikologi terhadap murid.
Hassan juga berkata, cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menetapkan pendidikan formal pada enam tahun dikhuatiri memberi tekanan besar sekiranya anak belum matang sepenuhnya.
Menurutnya susulan desakan pelbagai pihak, kemasukan pada usia enam tahun dijadikan pilihan oleh kerajaan dan bukan mandatori.

0 Comments