Kuala Krai dinobat 20 Bandar Paling Bahagia 2025

 
KOTA BHARU: Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dinobatkan sebagai antara 20 Bandar Paling Bahagia Tahun 2025 peringkat kebangsaan.

Selain itu MDKK juga menerima Anugerah Khas Kerajaan Negeri Tahun 2025, di tempat kedua selepas Majlis Daerah Machang sebagai Bandar Paling Bahagia Peringkat Negeri sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Kelantan.

Menteri Besar Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, Anugerah Bandar Paling Mampan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 dianugerahkan kepada Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam dengan skor kemampanan 96.96 peratus.

“Anugerah Bandar Mampan Peringkat Negeri 2025 turut diberi kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mencatatkan skor lebih 80 peratus dalam MURNInets 2.0 dengan keseluruhan mencapai skor lebih 90 peratus,” katanya pada majlis penyampaian watikah pelantikan ahli majlis PBT 2026 di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 288 Ahli Majlis PBT menerima watikah pelantikan bagi sesi tahun 2026.

Menteri Besar juga berkata, kepakaran, kebolehan serta kecekapan yang dimiliki setiap Ahli Majlis penting bagi memastikan kehendak serta aspirasi kepimpinan dan wawasan negeri dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.

Kata beliau peranan dan tugas selaku Ahli Majlis hendaklah difahami dan dihadam untuk membangunkan dan mengurus tadbir sesebuah PBT.

“Setiap Ahli Majlis juga hendaklah memahami dengan jelas peranan dan tanggungjawab masing-masing melalui pematuhan yang menyeluruh terhadap peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

“Antara undang-undang utama yang perlu diberi perhatian Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Perancangan Bandar dan Desa, serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan,” ujarnya.

Beliau turut berharap setiap Ahli Majlis sentiasa menerapkan dan menghayati dasar Membangun Bersama Islam iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) dalam setiap urusan dan keputusan yang diambil.

Menurutnya juga semua Ahli Majlis hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan dalam perancangan serta pembangunan PBT.

“Mesyuarat hendaklah hadir, libatkan diri secara langsung dalam program dan aktiviti PBT, serta menyumbang secara membina dalam proses menggubal dasar, merangka perancangan dan mengawasi pelaksanaannya.

“Jangan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai rakan strategik yang berintegriti kepada pentadbiran PBT,” tambahnya.  


 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments