Pengeluaran daging ruminan rendah berbanding babi

 
Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Kadar Tahap Sara Diri (SSL) bagi daging babi di negara ini jauh lebih tinggi, di mana sebahagiannya dieksport ke luar negara.

Sedangkan kadar semasa SSL daging haiwan ruminan sekitar 20 peratus. Malah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menetapkan sasaran sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, apa yang berlaku sekarang kadar pengeluaran daging haiwan ruminan lebih rendah berbanding SSL daging babi.

"Persoalan utama apakah langkah KPKM bagi meningkatkan SSL daging haiwan ruminan kepada 50 peratus menjelang tahun 2030 secara mampan memandangkan sekarang hanya berada pada paras 20 peratus.

"Apakah hala tuju dasar penternakan babi lebih selamat sesuai dengan lokasi dan mampan," katanya di Dewan Rakyat semalam.

Baru-baru ini Sultan Selangor dilapor murka terhadap perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi berskala besar di Tanjung Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini.

Dr Ahmad turut menyentuh mengenai sektor kesihatan awam di Sabah dan Sarawak yang berhadapan dengan masalah kritikal seperti kemudahan daif, kekurangan doktor pakar dan akses terhad.

Sedangkan katanya titah Yang Dipertuan Agong menekankan kesihatan menjadi teras utama kepada kehidupan rakyat yang lebih baik dan tugas kerajaan memastikan semua keperluan itu dipenuhi.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewajarnya dapat memastikan nisbah sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu seorang doktor bagi 400 penduduk di negeri terbabit tercapai.

"Lebih membimbangkan jumlah doktor terus menurun setiap tahun di Sabah dan Sarawak. Pada 2025 dilapor hanya terdapat 4,000 sedangkan keperluan sebenar sekitar 6,000 doktor.

"Isu ini bukan sahaja melibatkan jumlah, tetapi juga ketidakseimbangan agihan tenaga kesihatan antara bandar dan luar bandar, selain cabaran graduan perubatan dari institusi tidak diiktiraf," katanya.


 

Post a Comment

0 Comments