Perubahan dasar pendidikan tidak boleh tergesa-gesa

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Isu kemasukan murid usia enam tahun ke Darjah Satu turut melibatkan keperluan bilik darjah, guru serta persediaan pihak sekolah.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, ia tidak seharusnya dinilai berdasarkan faktor umur semata-mata.

Sebaliknya, perlu mengambil kira tahap kesediaan mental, fizikal murid dan keupayaan sistem pendidikan secara menyeluruh.

“Faktor usia saya tidak nampak masalah tetapi kesediaan dari sudut mental dan fizikal di pihak sekolah dan guru-guru perlu diberi perhatian,” katanya selepas mesyuarat Exco di Mabna Kota Darulnaim hari ini.

Pada 20 Januari lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 bagi melahirkan generasi berdaya saing dan bernilai tinggi.

Dasar tersebut merangkumi penyelarasan kurikulum dari prasekolah sehingga pengajian tinggi, termasuk memulakan Darjah 1 pada usia 6 tahun menjelang 2027. 

Dr Mohamad Fadzli yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, sebarang perubahan dasar pendidikan tidak boleh dilaksana secara tergesa-gesa kerana ia memberi kesan langsung kepada keseluruhan sistem persekolahan.

Katanya, kerajaan perlu memastikan sekolah rendah serta institusi pendidikan berkaitan benar-benar bersedia sebelum menerima kemasukan murid pada usia enam tahun.

“Perkara ini melibatkan banyak kelas, guru dan struktur pembelajaran. Kesediaan itu perlu ada. Sebarang perubahan dasar pendidikan tidak menjejaskan kualiti pendidikan serta kesejahteraan murid dan guru,” katanya.

Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, perdana menteri memberitahu kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM800 juta bagi menyediakan prasarana untuk kemasukan murid 6 tahun ke darjah satu.

 

Post a Comment

0 Comments