Pengerusi baharu PN saksikan kejutan

 

Oleh Salmah Mat Husain |

KOTA BHARU: Pengumuman jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu dijangka akan menyaksikan kejutan atau perkara di luar jangkaan.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung siapa yang bakal memegang jawatan berkenaan.

Katanya, beliau memilih untuk menunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan tertinggi PN.

“Kemungkinan terdapat dua nama pemimpin PAS yang dikaitkan dengan jawatan Pengerusi PN, namun perkara tersebut tidak wajar diteka secara terbuka sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Namun saya menjangkakan akan ada kejutan dan perkara itu luar jangkaan. Kita tunggu dan lihat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Preview Buffet Ramadan di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Kamarudin yang juga anggota Exco kerajaan negeri menegaskan Bersatu Kelantan sedia menerima dengan hati terbuka apa juga keputusan yang bakal dibuat Majlis Tertinggi PN.

“Siapa pun yang memegang jawatan tersebut nanti, Bersatu Kelantan sedia menerima dengan hati terbuka,” ujarnya.

Akhirnya tahun lepas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan berundur daripada jawatan pengerusi PN berkuatkuasa awal tahun ini.

 

Post a Comment

0 Comments