Bawa ke mahkamah pastikan ART sah atau tidak

 

Oleh A Rahman Harun |

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Oktober lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, adakah perdana menteri sudah membawa perkara itu kepada Majlis Raja-raja sebelum ditandatangani.

“Adakah perkara itu sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, apakah dibentang ke Parlimen dan dibawa ke kabinet.

"Surat yang kita hantar tidak dijawab, jadi apa yang kami buat ialah bawa perkara ini ke mahkamah untuk tentukan samada apa yang dibuat perdana menteri sah atau tidak,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ni.

Rosol bersama empat ahli parlimen PN iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Awang Hashim (Pendang), Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin) mengemukakan saman kepada perdana menteri berhubung ART.

Saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini diwakili bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dan Peguam, Karthigesan Shanmugam.

Rosol juga berkata, sepatutnya mesyuarat diadakan sebelum perjanjian itu ditandatangani, namun apa yang berlaku terhadap ART terbalik.

Sementara itu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, kedua-dua belah pihak sebelum ini sudah menyatakan tidak setuju terhadap apa yang berlaku dalam perjanjian Malaysia dan Amerika Syarikat.

Malah kata beliau PN memperjuangkan isu tersebut selepas kandungan perjanjian itu gagal dijawab dengan baik oleh perdana menteri.

"Banyak perkara tidak dijawab dengan baik oleh MITI, mereka tidak mampu menjelaskan dengan tuntas kenapa butiran-butiran yang merugikan negara ada dalam perjanjian.

"Kita masih menunggu jawapan dan sedia berjuang dalam sidang kali ini untuk bertanya kepada perdana menteri dan Menteri MITI yang baru Dato' Johari Ghani.

"Jadi jangan ingat apa yang berlaku tahun lepas kita tidak buka tahun ini jangan.. kami akan gasak habis-habisan," katanya.

Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani ART 2025 ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

 

 

Post a Comment

0 Comments