Oleh: A Rahman Harun |
KUALA LUMPUR:
"Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di
Malaysia," titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar
sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Malaysia Kelima Belas hari
ini.
Titah baginda dipercayai ada kaitan polemik Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang diperjuangkan parti politik tertentu.
Pengiktirafan UEC kembali menjadi perdebatan susulan kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janjinya.
Desakan tersebut memuncak khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menyaksikan sokongan pengundi terhadap PH merosot ketara.
Malah, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming menyatakan akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu pengiktirafan UEC.
Bagaimanapun isu itu mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak.
Baginda bertitah sistem pendidikan merupakan salah satu mekanisma bagi pembinaan negara bangsa, pembangunan jati diri generasi masa depan yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memartabatkan bahasa Melayu.
Baginda turut meminta kerajaan memperkasakan sistem pendidikan selain menolak sebarang cadangan yang dianggap tidak selari dengan usaha kerajaan memperkukuh identiti nasional melalui satu bahasa tunggal.
"Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasakan sebagai pembinaan bangsa jati diri dan masa depan negara, jika hendak buat sistem pendidikan yang baru, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan negara.
"Selain bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaaan, oleh itu sebarang usaha untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima bahasa dan sejarah Malaysia," katanya.


0 Comments