Prestasi hasil membanggakan: RM879.79 Juta dikumpul, Kerajaan Negeri Kelantan pamer tadbir urus cekap & berintegriti



KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan mencatatkan prestasi pungutan hasil yang memberangsangkan apabila berjaya mengutip sebanyak RM879.79 juta sehingga 28 Disember 2025, bersamaan 88.22 peratus daripada anggaran bajet.

Pencapaian tersebut mencerminkan keupayaan tadbir urus kewangan yang cekap, berdisiplin serta berintegriti, hasil kepimpinan berwawasan Kerajaan Negeri dan komitmen tinggi penjawat awam Kelantan dalam mengurus sumber kewangan negeri secara berkesan.

Menteri Besar Kelantan dalam Amanat Tahun Baharu 2026 menegaskan bahawa prestasi ini bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi bukti jelas kepada keberkesanan strategi pengurusan hasil, termasuk usaha memperkukuh punca hasil baharu serta meningkatkan keupayaan kutipan sedia ada secara sistematik dan berfokus.

Menurut beliau, antara langkah utama yang digariskan ialah penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih tegas dan terarah, khususnya kutipan tunggakan cukai tanah pada kadar sekurang-kurangnya 80 peratus, selain sasaran kutipan cukai tanah semasa pada kadar 100 peratus.

“Pendekatan ini bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya memastikan keadilan, kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan hasil negeri agar setiap sen yang dikutip dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan atas prestasi cemerlang dan komitmen tinggi yang menjadi tunjang kepada kejayaan pengurusan kewangan negeri.

Kerajaan Negeri Kelantan, tambah beliau, akan terus memperkukuh tadbir urus kewangan yang berhemah dan mampan, selari dengan aspirasi membina negeri yang sejahtera, berdaya saing serta berkeupayaan mengurus sumber secara lestari demi generasi akan datang.

Post a Comment

0 Comments