![]() |
| Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud |
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 7 Januari – Islam tidak melarang umatnya bergembira, bahkan kegembiraan itu dibenarkan selagi mematuhi batas syariat, ujar Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Daud.
Menerusi intisari Kuliah Medan Ilmu, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan hadis Qudsi, Rasulullah SAW dibimbing agar tidak meresahkan para sahabat ketika mereka sedang bergembira, sebaliknya kegembiraan perlu dipandu dengan kesedaran terhadap kehidupan akhirat.
"Setelah Nabi SAW menyatakan bahawa mereka pasti akan lebih banyak menangis daripada bergembira apabila mengetahui apa yang telah diketahui baginda SAW, dalam kalangan mereka ada yang tersentuh lalu menangis" katanya, di laman rasmi, pada Jumaat.
Menurutnya, wahyu tersebut menjadi petunjuk bahawa manusia boleh mengecapi nikmat dan suasana kegembiraan di dunia selagi tidak bercanggah dengan hukum Allah SWT.
Tambahnya, Rasulullah SAW turut berpesan supaya umat bergembira dengan cara yang baik.
"Bergembira dengan perbuatan baik yang dilakukan walaupun hanya sedikit (Absyiru).Melaksanakan ibadah dan tugasan kebaikan dalam kemampuan yang ada (saddidu). Melakukan setiap kebaikan dengan terbaik, jika tidak mampu, lakukan setakat yang dalam kemampuan asalkan ia dalam perkara mendekatkan diri kepada Allah (qaaribu)" ujarnya.
Dalam pada itu, YB Mohd Asri menegaskan bahawa sambutan tahun baharu tidak menjadi kesalahan, malah wajar dianjurkan oleh kerajaan dengan pengisian islamik bagi mengekang gejala mungkar pada malam sambutan tersebut.
Katanya, jika sambutan tidak dipandu dengan pendekatan Islam, maka aktiviti batil dan hiburan melampau akan berleluasa sebagaimana yang berlaku di beberapa kawasan hiburan besar yang tidak mencerminkan identiti negara umat Islam.
Beliau turut mengajak umat Islam untuk menjadikan kedatangan tahun baharu sebagai masa muhasabah terhadap amalan lalu, memperbanyakkan taubat serta membuka lembaran kehidupan baharu dengan agenda kebaikan.
Selain itu, beliau mengingatkan agar setiap amalan yang dilakukan diusahakan menjadi jariah, termasuk melalui wakaf, supaya pahala berterusan walaupun selepas meninggal dunia.
“Sentiasalah hisab diri, bagaimana saki baki umur dimanfaatkan, apa kebaikan yang telah kita lakukan, bagaimana harta diuruskan serta sejauh mana ilmu diamalkan,” ujarnya.
Menurutnya, pembinaan institusi keluarga yang baik akan melahirkan masyarakat dan negara yang baik.
Sehubungan itu, Kelantan telah memperkukuh agenda keluarga melalui kelulusan RUU Keluarga Islam 2025 yang memberi keizzahan kepada pembentukan keluarga dan masyarakat.


0 Comments